suria

PM Umum 19 Lagi Projek Di Bawah Pelan Transformasi Ekonomi

PUTRAJAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengumumkan 19 lagi projek permulaan (EPP) di bawah Program Transformasi Ekonomi yang akan menjana pelaburan hampir RM67 bilion, RM36 bilion pendapatan kasar negara dan mewujudkan 35,000 pekerjaan baharu.

Sebelum ini, 18 EPP telah diumumkan sejak ETP dilancarkan pada 25 Oktober, 2010.

Kesemua projek 19 EPP dan pembangunan itu akan dilaksanakan di bawah 10 Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA), yang diterajui oleh empat EPP di bawah NKEA minyak, gas dan tenaga, katanya kepada pemberita pada satu taklimat media di sini, Selasa.

Najib berkata, ExxonMobil Exploration and Production Malaysia Inc, bersama-sama dengan rakan kongsi kontrak pengeluarannya, Petronas Carigali Sdn Bhd, merancang melabur lebih RM10 bilion dalam aset minyak dan gas bagi membantu memastikan bekalan yang andal dan mampan bagi Malaysia.

Ini merupakan kesinambungan dari pengumuman insentif cukai baharu di bawah Akta Cukai Pendapatan Petroleum (PITA) pada November 2010, kata Najib, yang juga Menteri Kewangan.

"Komitmen perbelanjaan modal ini akan digunakan bagi memberi nafas baharu terhadap kemudahan yang matang dan melaksanakan usaha meningkat aktiviti pengeluaran minyak di medan Tapis dan projek pembangunan gas Telok, katanya.

Projek Telok, yang terletak di luar pesisir Semenanjung Malaysia, sedang dibangunkan di bawah satu kontrak perkongsian pengeluaran bagi menyediakan bekalan tambahan bagi keperluan kuasa dan perindustrian Malaysia dan akan menggalakkan pertumbuhan organik sektor gas asli, katanya.

Najib berkata satu lagi peserta besar dalam industri ini, Shell Malaysia akan turut melabur RM1.5 bilion di segi pelbagai projek bagi menaik taraf, mengembangkan dan membina kemudahan di dalam aktiviti hiliran, pertengahan dan huluan di seluruh Malaysia.

"Ini termasuk mengembangkan loji lilin Sintesis Penyulingan Pertengahan Shell (MDS) di Bintulu, satu unit pemprosesan diesel yang baharu di Kilang Penapisan Shell di Port Dickson dan pembangunan air dalam Gemusut di luar pesisir Sabah," katanya.

Aktiviti selanjutnya dalam sektor ini akan menyaksikan Dialog Group Bhd mengetuai satu konsortium yang terdiri daripada kerajaan Johor dan Vopak akan membangunkan satu projek terminal petroleum air dalam bebas RM5 bilion di Pengerang, Johor, katanya.

Najib berkata projek itu akan mempunyai keupayaan penyimpanan petroleum keseluruhan 5.0 juta meter padu dan melonjakkan Malaysia sebaris dengan hab penyimpanan minyak serantau.

"Saya menjangka satu kesan penggandan yang signifikan dari projek Pengerang untuk merangsang keseluruhan ekonomi dan di bawah ETP, ia dijangka menjana pendapatan negara kasar RM1.6 bilion menjelang 2020," katanya.

Mengenai tenaga nuklear, Najib berkata kerajaan sedang mengkaji kemungkinan menggembleng tenaga bagi memenuhi permintaan masa depan dan mempelbagai campuran tenaga bagi Semenanjung Malaysia.

Dengan itu, bagi menerajui inisiatif itu, Najib turut mengumumkan pembentukan Perbadanan Kuasa Nuklear Malaysia di mana Dr Mohd Zamzam Jaafar telah dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif.

"Dr Mohd Zamzam mengetuai perancangan berdasarkan tempoh jadual masa pembangunan semasa antara 11 hingga 12 tahun daripada praprojek sehingga pentaulihan," kata Najib.

Di bawah NKEA Perkhidmatan Perniagaan, Najib mengumumkan MyTelehaus, CSF Group dan pusat data Teliti International telah membantu Malaysia merapatkan jurang mengenai aspirasi untuk meningkatkan jualan ruang lantai pusat data.

"Melalui pelaburan lebih RM671 juta secara kolektif, ketiga-tiga organisasi itu akan membangunkan kemudahan baharu dan menaik taraf yang sedia ada, bagi membekalkan ruang lantai 475,000 kaki persegi pusat data bagi menampung peningkatan permintaan," katanya.

Mengenai NKEA Penjagaan Kesihatan, UM Holdings Sdn Bhd, satu perbadanan milik penuh Universiti Malaya, akan mewujudkan Metropolis Kesihatan Universiti Malaya di Petaling Jaya, Selangor, kata Perdana Menteri.

"Usaha menyepadukan penjagaan kesihatan, penyelidikan biologi dan pasca pendidikan menyasarkan untuk meningkatkan standard dan kualiti bidang berkenaan, bagi menjadi antara yang terbaik di dunia," katanya.

Katanya ia turut ditanda aras berbanding Pusat Perubatan Longwood Havard dan Pusat Bio-X Stanford, dua daripada contoh terbaik dalam kelasnya di dunia.

Najib turut menonjolkan bahawa kemudahan pelbagai guna seluas dua juta kaki persegi itu, akan dibangunkan dengan kerjasama dengan 32 rakan penjagaan kesihatan, akademik dan teknologi.

Beliau turut mengumumkan bahawa satu lagi projek di bawah NKEA Penjagaan Kesihatan, Hovid Bhd, iaitu sebuah syarikat farmaseutikal kelahiran negara ini, telah menjalin perjanjian dengan Winthrop Pharmaceuticals, satu anak syarikat Sanofi-Aventis, satu syarikat farmaseutikal global.

Usahasama itu akan mengeluarkan dan membekalkan ubat-ubatan generik bagi diabetik dan pengurusan kesakitan bernilai RM50 juta bagi tempoh lima tahun akan datang, kata Najib. -BERNAMA

Artikel Lain