suria

Istana Selangor Pertahan SUK Baru, Cadangan Pindaan Perlembagaan Perlu Perkenan Sultan

PETALING JAYA: Kontroversi pelantikan Setiausaha Kerajaan Selangor yang baru, Datuk Mohamed Khusrin Munawi kini kian meruncing apabila Pejabat Sultan Selangor pada Selasa mengeluarkan kenyataan yang bertentangan dengan kenyataan versi Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sehari sebelumnya.

Pejabat Sultan Selangor menegaskan bahawa majlis angkat sumpah taat setia oleh Datuk Mohamed Khusrin akan tetap diadakan Khamis ini di Istana Bukit Kayangan dekat sini.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani, ini kerana berdasarkan pengetahuan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bahawa Mohamed Khusrin telah dilantik mengikut prosedur yang ditetapkan dan selaras dengan peruntukan Fasal (1) dan 2(a) Perkara 52 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959.

Berikutan pelantikan itu, katanya, Setiausaha Kerajaan Selangor yang baru hendaklah mempunyai hak untuk mengambil bahagian dalam prosiding Majlis Mesyuarat Kerajaan dan Dewan Undangan Negeri setelah mengangkat dan menandatangani sumpah simpan rahsia di hadapan Menteri Besar.

Mohamad Munir juga menjelaskan bahawa kenyataan akhbar oleh Menteri Besar yang menyatakan Sultan Selangor berpandangan bahawa baginda tidak mempunyai kuasa untuk menerima atau menolak calon-calon yang dicadangkan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) adalah kurang tepat.

"Apa yang sebenarnya berlaku, nama-nama calon untuk jawatan Setiausaha Kerajaan Negeri telah disembahkan kepada Baginda oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) yang menjalankan kuasa Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Persekutuan.

"Perkara ini telah menjadi amalan di Selangor," katanya yang menjalankan titah baginda.

Beliau juga menjelaskan bahawa Sultan Sharafuddin sebenarnya telah bertitah sepatutnya Menteri Besar mengadakan perbincangan pemilihan calon sebelum calon-calon disembahkan oleh JPA atau SPA kepada baginda dan bukannya berbincang selepas jawatan Setiausaha Kerajaan Selangor telah diperkenankan oleh Baginda.

"Tindakan Menteri Besar untuk berbincang dan memilih calon-calon lain dengan JPA atau SPA setelah calon dilantik adalah tindakan yang tidak wajar diambil kerana boleh menjatuhkan moral dan kredibiliti serta integriti calon yang telah dilantik dan juga boleh mewujudkan satu suasana yang tidak baik dalam perkhidmatan awam negeri Selangor," katanya.

Dalam pada itu Sultan Selangor menitahkan bahawa cadangan pindaan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959 yang dilaporkan akan dibuat oleh kerajaan negeri bagi mengembalikan kuasa pelantikan Setiausaha Kerajaan Selangor kepada Sultan Selangor, dipersembahkan untuk mendapat perkenan baginda terlebih dahulu.

Semalam, Abdul Khalid membuat kenyataan kepada media selepas menghadap Sultan Sharafuddin bahawa kerajaan negeri bercadang mengadakan sidang tergempar Dewan Undangan Negeri Selangor bagi membuat pindaan tersebut.

Mohamad Munir menjelaskan bahawa Khamis ini akan diadakan upacara pengurniaan darjah kebesaran negeri Selangor kepada Raja Muda Selangor sempena ulang tahun keputeraan ke-65 Sultan Selangor kerana ketika istiadat pengurniaan darjah kebesaran pada 11 Disember lepas, Raja Muda Selangor berada di luar negara.

Pada majlis tersebut juga akan diadakan upacara angkat sumpah taat setia penjawat jawatan Setiausaha Kerajaan Selangor dan Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor, pelantikan dan angkat sumpah Ahli Dewan di-Raja Selangor, pelantikan dan angkat sumpah Jaksa Pendamai Selangor, pelantikan Ahli Majlis Agama Islam Selangor dan pelantikan Ketua Pendaftar Mahkamah Rayuan Syariah Selangor.

"Semua upacara diadakan pada satu masa adalah untuk menjimatkan masa dan kewangan," menurut Mohamad Munir.

Berkenaan tulisan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Muda, Shuhaimi Shafiei, dalam blognya pada 30 Disember lepas, dimaklumkan bahawa pelantikan Setiausaha Kerajaan Selangor tidak tertakluk kepada peruntukan Fasal (1) dan (1A) Perkara 55 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor.

"Oleh itu sindiran beliau yang menyatakan D.Y.M.M. Sultan Selangor seolah-olah sebagai "beraja di mata, bersultan di hati" adalah amat keterlaluan dan boleh mengelirukan rakyat.

"Kenyataan beliau yang sedemikian boleh dianggap sebagai cuba memberi amaran kepada D.Y.M.M. Sultan Selangor dan cuba mempengaruhi rakyat untuk membenci Baginda," kata Mohamad Munir.

Mohamad Munir juga mengulas artikel dalam akhbar Sinar Harian pada 29 Disember lepas mengenai "Pelantikan SUK Tidak Semestinya Dibuat SPA" oleh ADUN Kampung Tunku, Lau Weng San.

Menurutnya, walaupun terdapat Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Negeri (SPAN) di negeri-negeri lain yang boleh melantik Setiausaha Kerajaan Negeri, tetapi di negeri Selangor, kuasa pelantikan tersebut adalah dijalankan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Persekutuan (SPA).

Artikel Berikut

Artikel Lain