suria

Contohi Noorkhiriah Tak 'Demand'

Noorkhiriah
Noorkhiriah
Noorkhiriah

NIEZAM terharu apabila mendengar ucapan pelakon wanita terbaik Anugerah Skrin 2010 (ASK 2010) Noorkhiriah sebaik sahaja dia memenangi anugerah itu menerusi drama Antara Garisan ASK 2010 diadakan pada 24 Disember lalu di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Antara kata-kata Noorkhiriah, walaupun dia menang, dia tak akan demand. Dalam erti kata lain dia tak akan minta bayaran lebih daripada mana-mana pengarah ataupun produser yang nak ambil dia berlakon.

Untuk rekod, Noorkhiriah pernah memenangi anugerah Pelakon Pembantu Wanita Terbaik anugerah yang sama pada tahun 2009. Untuk rekod juga, Noorkhiriah dah berlakon lebih sepuluh tahun. Tapi sejak dua, tiga tahun kebelakangan ini sahaja barulah dia agak popular.

Bila sebut saja soal populariti, ramai yang akan berkata kenapa media tak bagi publisiti? Sebenarnya, publisiti buat Noorkhiriah tak pernah berhenti.

Cukup banyak. Taip sahaja nama Noorkhiriah dalam mana-mana portal berita, akan tersenarailah kisah-kisah mengenainya yang pernah diberi publisiti.

Media sudah lama menyokong dia tetapi rezeki nak popular itu tak macam artis yang lain.

Niezam pernah terbaca kenyataan Noor dalam akhbar sebelum ini. Kata Noor, dia tak cantik. Dia tak ada pakej seperti orang lain. Sebab itulah dia tak begitu popular. Cantik atau tidak sebenarnya bukan ukuran untuk seseorang itu popular. Yang penting ialah bakat, sekarang Noor dah buktikan.

Dia menang anugerah bukan atas tiket dia sebagai seorang yang cantik jelita tetapi bakat yang dia ada.

Malah sesuatu yang harus dijadikan contoh oleh artis-artis lain apabila Noor berkata, walaupun dia menang anugerah, dia tak akan demand. Ini bermakna harga bakat Noor sebelum dan selepas dapat anugerah tetap sama.

Tak semua artis yang berani cakap macam tu. Sebabnya, artis kita selama ini memang kaki demand. Berlakon baru tiga, empat drama mula nak letak bayaran yang tinggi melangit. Sesetengahnya pula letak harga yang tak masuk akal.

Artis-artis macam ini, percayalah tak akan boleh kekal lama dalam industri. Mereka tak boleh bertahan macam Noor yang sudah lebih sepuluh tahun berlakon, masih lagi laku dan semakin bertambah hebat kebolehannya.

Artis-artis kita yang lain hanya sekadar hangat-hangat tahi ayam. Berlakon satu dua filem dah popular, lepas tu terus senyap begitu saja.

Contoh dan kehebatan Noorkhiriah perlu dipelajari oleh artis-artis kita terutamanya kepada mereka yang perasan sudah hebat.

Niezam banyak dapat rungutan daripada sesetengah produser terdapat beberapa artis yang semakin demand. Ada pula sampai kena hantar pemandu ambil dekat rumah. Wah... itu dah melampau !

NIEZAM: Ada artis baru buntingkan wanita? Hebat!

Seksi tak semestinya cantik

RAMAI artis yang terkejut dengan teguran Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) yang kecewa dengan trend berpakaian segelintir artis dalam Anugerah Skrin 2010 lalu.

Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim turut menegur etika berpakaian golongan itu yang kelihatan seksi. Kata Rais, tamadun seseorang bukan dinilai dengan cara berpakaian yang tidak senonoh.

Niezam tahu ramai artis yang “panas” dengan teguran itu. Malah ada juga artis yang merasakan terhina kerana imej yang ditampilkan tetapi itu semua adalah hak mereka.

Bagi orang yang bukan Melayu, seksi bukanlah satu isu besar pun. Tapi dari segi budaya Melayu, soal berpakaian dan adab sopan adalah satu perkara yang amat sensitif walaupun orang itu belajar setinggi mana sekalipun.

Pada malam ASK 2010 tu pun sebenarnya tak semua artis yang datang berpakaian seksi.

Contohnya Erra Fazira, Yana Shamsudin, Irma Hasmie dan Lisa Surihani antara artis yang cantik walaupun tampil dengan imej memakai gaun labuh. Niezam tahu, sebahagian besar artis kita yang gemar berpakaian seksi kerana mereka mahu dilihat cantik dan menarik. Tetapi soal cantik terlalu subjektif untuk diperkatakan.

Berimej seksi, kalau sudah tidak cantik, lagilah jadi buruk jadinya.

Niezam teringat kata-kata seorang teman. Katanya, perempuan yang pakai seksi sebenarnya sudah tak cantik lagi. Sebabnya dia sudah tayang badannya untuk orang lain.

Niezam juga teringat dengan kisah artis Korea, Min Hyo Rin yang terpaksa meminta maaf kerana berpakaian seksi untuk siaran langsung sebuah acara hiburan.

Dalam majlis itu, bunga yang hendak disampaikan oleh Min Hyo Rin kepada salah seorang pemenang dalam program itu tersangkut pada gaun bahagian dadanya yang seksi.

Gara-gara kejadian itu Min Hyo Rin terpaksa mohon maaf dan kejadian itu amat memalukannya.

Pengajaran daripada peristiwa itu memperlihatkan elemen seksi sebenarnya boleh membawa padah. Dalam konteks budaya di Malaysia, tak semua orang gemar dengan artis Melayu yang berpakaian seksi.

Jadi, artis-artis kita harus tahu bagaimana untuk memilih pakaian yang kelihatan menarik tanpa perlu terbelah sana, terbelah sini.

NIEZAM: Seksa...

Artikel Berikut

Artikel Lain