suria

Terminal Pengangkutan Bersepadu Di Bandar Tasik Selatan Beroperasi Januari

KUALA LUMPUR: Mulai 1 Jan depan, Terminal Bersepadu Selatan-Bandar Tasik Selatan (TBS-BTS) akan beroperasi menyediakan perkhidmatan kepada para penumpang bas dan teksi dari Kuala Lumpur ke Utara dan Selatan Semenanjung.

Operasi terminal yang menjadi hentian utama hentian bas ekspres dan teksi ke utara dan selatan Semenanjung akan dikendalikan MAJU Terminal Management and Services (TMAS), syarikat yang baru dilantik.

Di bawah inisiatif Bidang Keberhasilan Utama Negara kerajaan, kemudahan di terminal, yang akan menggalakkan sistem perkhidmatan pengangkutan awam, termasuklah kaunter khidmat pelanggan pusat serta kemudahan pembelian dan penempahan "e-tiket" bagi mengelakkan penjualan tiket haram di terminal.

Sebagai usaha memulihara alam sekitar, TBS-BTS akan dihiasi lanskap lebih 10,000 spesies tumbuh-tumbuhan dan pengunaan "Sistem Hampagas Berpusat" bagi memastikan tahap kebersihan dan kesihatan terbaik di terminal, menurut TMAS dalam satu kenyataan di sini.

Dibina di atas kawasan seluas 19.6 hektar, terminal setinggi enam tingkat itu mempunyai 55 platform bas, 150 tempat letak teksi, 1,000 buah tempat letak kereta dengan kawasan tempat menunggu berhawa dingin.

TBS-BTS dihubungkan dengan rangkaian pengangkutan seperti Keretapi Tanah Melayu (KTM) Komuter, Express Rail Link (ERL) Transit dan Sistem Transit Aliran Ringan (LRT). - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain