suria

Ibu Sudah Tiada Untuk Julang Kejayaan Syafiqah

ALOR SETAR: Semasa mendapat 5A dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah tiga tahun lepas, Aiman Syafiqah Yusof, didukung dengan bangga oleh ibunya, Hasnah Hamzah.

Namun, pada Khamis, apabila beliau meraih 8A dalam peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR), ibunya tidak menjulangnya lagi.

Ini kerana ibunya, Hasnah Hamzah, 52, ayahnya Yusof Ahmad, 53, dan dua orang kakaknya, Hazwani Izzati, 23, dan Hafizatul Alimi, 20, meninggal dunia dalam satu kemalangan jalan raya tahun lepas.

"Saya rasa sangat sayu kerana semasa saya mendapat 5A dalam UPSR, emak telah mendukung saya. Kini itu semua hanya tinggal kenangan," kata Aiman Syafiqah sambil menitiskan air mata semasa menerima keputusan itu di Sekolah Menengah Sultanah Asma di sini pagi Khamis.

Pada 18 Sept 2009, empat sekeluarga itu rentung dalam kemalangan membabitkan empat kenderaan di Kilometer 94.7 Lebuh Raya Utara Selatan berhampiran susur keluar Gurun. Aiman Syafiqah kini tinggal dengan dua lagi kakaknya dan seorang adik perempuan.

Aiman Syafiqah berkata kehilangan empat insan kesayangannya itu bukan satu alasan untuk menghalangnya daripada belajar dengan gigih malah beliau menjadikan tragedi itu sebagai semangat untuk terus berjaya.

"Usaha dan kejayaan saya hari ini adalah untuk arwah mak dan ayah walaupun mereka sudah tiada, tapi saya yakin mereka mengetahui tentang kejayaan saya ini," kata Aiman Syafiqah, yang bercita-cita menjadi seorang doktor.

Beliau berkata walaupun berstatus yatim piatu, itu sedikitpun tidak mengganggu tumpuannya untuk belajar kerana dua lagi kakaknya, guru-guru dan rakan-rakan sentiasa memberi semangat kepadanya.

"Semasa pengetua mengumumkan nama saya tadi, saya sangat terkejut dan tidak menyangka memperoleh 8A kerana semasa ujian percubaan dahulu saya hanya mendapat 7A," katanya.

Kakak beliau Farah Yuziana Yusof, 30, berkata arwah emak dan ayah mereka sangat mementingkan pelajaran.

"Jadi saya juga sentiasa ingatkan adik-adik supaya tidak abaikan pelajaran kerana hanya dengan ilmu sahaja kita boleh berjaya," katanya.

Farah Yuziana berkata beliau perlu memberi semangat kepada adik-adiknya supaya tidak merasa kesunyian dan rendah diri dengan apa yang telah berlaku kepada keluarga mereka setahun yang lalu.

"Aiman belajar seperti pelajar lain, dia tidak mengikuti mana-mana kelas tusyen di luar, dia hanya tumpu kepada apa yang cikgu bagi di sekolah sahaja. Setiap kali dia minta untuk membeli buku latihan saya akan tunaikan," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain