suria

Penduduk Kg Lobak Di Kulim Bimbang Aktiviti Mengorek Pasir

KULIM: Kira-kira 700 penduduk Kampung Lobak, Mahang dekat sini kini dalam kebimbangan berikutan aktiviti mengorek pasir di kampung itu yang didakwa memberikan ancaman tanah runtuh selain sikap pemandu lori membawa pasir yang sering memecut laju.

Kegiatan pemandu lori yang dikatakan tidak menghiraukan keselamatan pengguna jalan raya lain terutama kanak-kanak sekolah di situ berlaku sejak sebuah kuari pasir di tebing Sungai Kerian di kampung itu beroperasi empat bulan lepas.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) Kampung Lobak Zainuddin Teh, 53, berkata beliau dimaklumkan bahawa kerajaan negeri telah meluluskan lesen pengeluaran bahan batu batan itu kepada sebuah syarikat.

Ekoran kegiatan lori-lori itu, pihaknya telah menulis surat kepada Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) Kedah awal November lepas berhubung masalah yang dialami penduduk di situ.

"Tapi sehingga ini masih belum ada tindakan konkrit yang diambil," katanya kepada pemberita ketika ditemui di rumahnya di Kampung Lobak di sini, Ahad.

Beliau risau dengan perkembangan itu kerana dalam tempoh dua minggu lagi penggal pertama persekolahan 2011 akan bermula. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Zaid Milik AKIM

Artikel Lain