suria

Najib Sertai Bacaan Yasin Dan Doa Sempena Maal Hijrah

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menyertai majlis bacaan Yasin dan doa selamat di Masjid Negara sempena Maal Hijrah 1432 yang akan disambut Selasa.

Kira-kira 4,000 umat islam sekitar ibu negara, turut menghadiri majlis itu.

Antara yang hadir ialah Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom, Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz dan Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan Datuk Che Mat Che Ali.

Majlis yang dipimpin oleh imam bertugas Ustaz Mohd Ehsan Mohd Hosni itu dimulakan dengan bacaan doa akhir tahun 1431 Hijrah dan doa awal tahun 1432 Hijrah.

Majlis diteruskan dengan solat maghrib dan diikuti dengan bacaan yasin, tahlil serta doa selamat.

Terdahulu, hadirin mengikuti forum bertajuk 1Malaysia 1Ummah: Hijrah Cinta, Bertaut Fitrah yang turut disiarkan secara langsung menerusi RTM1 pada 5.30 petang.

Forum yang dipengerusikan oleh pensyarah Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) yang juga pendakwah bebas Dr Ridhuan Tee Abdullah itu menampilkan dua anggota panel iaitu Ahli Majlis Perkim Kebangsaan Ustaz Mohamad Fitri Abdullah dan Pegawai Jakim, Ustaz Mohammad Zarifi Mohammad Daud.

Sambutan Maal Hijrah 1432 yang bertemakan "1Malaysia 1Ummah" peringkat kebangsaan akan diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) dengan majlis perasmian disempurnakan oleh Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin.

Selain Najib dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor, turut dijangka hadir ialah Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isteri, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman serta anggota kabinet yang lain dan perwakilan asing. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Zeti Tokoh Ma'al Hijrah 1432

Artikel Berikut

Artikel Lain