suria

MAHA 2010 Jadi Pekan Koboi ?

SERDANG: Pengunjung Pameran Antarabangsa Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Antarabangsa (MAHA 2010) berpeluang menyaksikan pertunjukan 20 penunggang profesional rodeo menunggang lembu dan kuda.

Ia merupakan penganjuran kali kedua oleh Rodeo Malaysia dengan kerjasama Jabatan Veterinar Malaysia selepas mendapat sambutan hangat pada penampilan sulung mereka pada MAHA 2008.

Pertunjukkan kuda tersebut dikendalikan oleh jurulatih professional dan pemenang pertandingan daripada Australian Bushmen’s Campdraft and Rodeo Associaton (ABCRA).

Sukan rodeo merupakan aktiviti yang popular di negara-negara seperti Mexico, Sepanyol, Amerika Syarikat dan Australia.

Para pengunjung turut berpeluang menyaksikan sembilan kategori rodeo sepanjang pertunjukan itu diadakan di pameran MAHA. Antaranya Bull Riding, Steer Wresling, Tie and rope, Bareback Riding, Steer Under Correcting, Ladies Barrel Racing, Breakway Roping dan Saddle Bronc.

Lebih menarik, pertunjukan sukan rodeo itu akan dilangsungkan setiap hari bermula dari 26 November hingga 5 Disember ini.

Antara pemimpin yang hadir menyaksikan acara tersebut ialah Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar; Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang; Timbalan Presiden Pas, Nasharuddin Md. Isa dan Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar, Datuk Abd. Aziz Jamaludin.

Bukan itu sahaja, MAHA 2010 juga cukup istimewa kerana ia turut menarik minat pemimpin parti pembangkang, seperti Hadi Awang dan Nasharuddin Md. Isa.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Marang menyifatkan MAHA sebagai satu program yang sangat baik kerana ia melibatkan penyertaan daripada pempamer dari dalam dan luar negara.

“Ini kali kedua saya datang melawat MAHA. Ia merupakan satu program yang proaktif apabila diadakan di peringkat nasional,” katanya kepada pemberita selepas menyaksikan aktiviti Rodeo di Arena Rodeo di MAHA 2010 di sini, Selasa.

MAHA 2010 turut mengekalkan keunikan ‘Laman Ramuan’ bagi memberikan pengetahuan kepada pengunjung mengenai pelbagai jenis herba dan sayur yang jarang ditemui.

Dengan konsep ‘Santai, Rawat dan Pembelajaran’, ‘Laman Ramuan’ dipenuhi dengan lebih daripada 150 spesies tanaman herba, ramuan dapur, bunga-bungaan dan buah-buahan yang mempunyai nilai perubatan yang mampu memberi kesan terapeutik kepada pengujung.

Laman ini turut dilengkapi dengan Pusat Informasi dan Rawatan SPA.

Pastinya pengunjung akan mendapat pengalaman istimewa di SPA ini dengan tawaran harga serendah RM18 bagi rawatan muka, tangan dan refleksologi.

Bagi mereka yang membawa anak usah bimbang kerana si kecil boleh bermain di ‘herbal maze garden’ yang terdapat di Laman Ramuan ini.

Ini secara tidak langsung memberi pendedahan kepada pengunjung kanak-kanak mengenai kekayaan warisan negara. Menurut bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi, MAHA kali ini telah berjaya membawa banyak perubahan dan ia merupakan satu usaha yang baik serta memberi nilai tambah kepada sektor penyelidikan terutamanya dalam bidang pertanian di negara ini.

“Saya yakin masa depan industri pertanian lebih cerah selepas ini. Saya harap bidang pertanian ini akan dapat mengupayakan ekonomi negara.

“Hal ini secara tidak langsung dapat mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat di negara ini,” katanya kepada mStar Online ketika di temui di Laman Sayur di tapak Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA 2010 ) di sini, Selasa.

Sementara itu, isteri beliau, Tun Jeanne Abdullah berkata, MAHA merupakan acara dwitahunan yang sentiasa ditunggu-tunggu oleh pelbagai lapisan masyarakat di negara ini.

“Saya sentiasa menunggu kedatangan MAHA setiap tahun. Di sini ada pelbagai tempat yang menarik boleh dilawati seperti, Laman Sayur dan Laman Ramuan.

“Di sini juga kita dapat memperoleh maklumat mengenai kaedah yang betul mengenai penanaman herba dan sayuran. Saya harap orang ramai yang datang dapat memperolehi idea untuk bercucuk tanam di rumah mereka,” katanya.

Jeanne berkata, walaupun dengan keluasan tanah yang terhad kita dapat menanam pelbagai jenis herba dan sayur-sayuran dengan menggunakan teknologi terkini dalam bidang pertanian yang mana maklumat mengenainya dapat diperolehi di MAHA 2010.

“Saya suka dengan Laman Ramuan kerana banyak maklumat tidak kita ketahui mengenai tanaman herba. Pasti kita juga tidak sedar bahawa pokok dan bunga-bungaan yang kita tanam di rumah sebenarnya punya manfaat tersendiri kerana ada yang boleh dijadikan ulam dan mengubati penyakit tertentu,” katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Lain