suria

Keanggotaan Terus Jadikan Barisan Lebih Inklusif

KUALA LUMPUR: Ahli politik dan penganalisis politik tempatan bersetuju bahawa keputusan Barisan Nasional (BN) memperkenalkan status ahli bersekutu dan ahli gabungan akan menjadikan gagasan itu lebih inklusif.

Keahlian terus tanpa perlu menjadi ahli parti komponen BN yang dibenarkan oleh Dewan Tertinggi BN pada Sabtu juga akan menjadikan platform baru untuk golongan remaja mendampingi politik, kata presiden Parti Liberal Demokratik Sabah (LDP) Datuk V.K. Liew.

Kelulusan itu berdasarkan beberapa garis panduan di mana Perdana Menteri dan Pengerusi BN Datuk Seri Najib Tun Razak akan menjelaskan secara terperinci dalam sedikit masa lagi, katanya.

"Apa yang penting semua parti komponen bersetuju untuk menjadikan BN lebih inklusif," katanya kepada Bernama di sini, Sabtu.

Liew berkata satu syarat yang dipersetujui iaitu sesiapa ingin menjadi ahli bersekutu atau ahli gabungan tidak menjadi ahli sebarang parti lain, kata Liew.

Di samping itu, satu lagi syarat ialah hanya ahli parti komponen sahaja boleh menjadi calon BN pada pilihan raya.

"Ia lebih kepada langkah merapatkan jurang untuk mereka menyentuh denyutan nadi politik. Mungkin selepas dua atau tiga tahun, sekiranya mereka berasa politik ada cara untuk mereka atau mahu menjadi calon dalam pilihan raya, mereka akan menyertai sebuah parti komponen," katanya.

Pada Februari lepas, Najib mencadangkan status keahlian terus dalam BN di mana sebuah jawatankuasa dipengerusikan oleh naib presiden UMNO Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dibentuk untuk mengkaji pro dan kontra cadangan itu.

Pemerhati politik berkata Tun Dr Mahathir Mohamad membenarkan dua calon tanpa parti bertanding di bawah BN pada pilihan raya umum pada tahun 1990an.

Dua calon tersebut menang iaitu Datuk Billy Abit Joo di Hulu Rejang dan Datuk Joseph Salang di Julau.

Penganalisis politik Dr Sivamurugan Pandian dari Universiti Sains Malaysia (USM) berkata keanggotaan terus itu akan membenarkan BN mendekati lebih ramai penduduk khususnya golongan remaja yang ragu untuk menyertai mana mana parti komponen.

"Barisan berada di landasan yang betul untuk menarik lebih ramai anggota. Keunikan keahlian terus boleh menarik lebih ramai golongan remaja khususnya yang berdaftar sebagai pemilih selepas pilihan raya umum 2008," katanya.

"Lihat sahaja Kelab Penyokong PAS yang mudah memikat 20,000 ahli - kesemua mereka bukan Islam," katanya.

Presiden Gerakan Tan Sri Dr Koh Tsu Koon berkata pada prinsipnya mereka menyokong kemasukan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) sebagai ahli bersekutu dan individu sebagai ahli gabungan selaras dengan semangat 1Malaysia.

"Kami lihat ini sebagai inisiatif positif dan langkah ke depan untuk menarik lebih ramai bakat dan penyokong Barisan untuk menjadi lebih berkesan bagi berkhidmat kepada masyarakat dalam mencapai Wawasan 2020," katanya dalam kenyataan di sini.

Koh berkata Gerakan menyokong langkah itu dengan pemahaman bahawa peraturan mengenai hak, peranan dan tanggungjawab ahli bersekutu dan ahli gabungan dibincangkan oleh Dewan Tertinggi BN secepat mungkin. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain