suria

JKM Minta Mangsa Banjir Buat Laporan Segera Untuk Bancian Ganti Rugi

ALOR SETAR: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) meminta mangsa banjir di negeri-negeri yang dilanda banjir terutama Kedah membuat laporan polis dengan segera mengenai kerosakkan peralatan dan rumah akibat bencana yang berlaku sejak 1 Nov lepas.

Ketua Pengarah JKM Datuk Meme Zainal Rashid berkata ia bagi memudahkan pihaknya membuat bancian segera dalam memastikan mangsa yang terjejas banjir mendapat bantuan ganti rugi dengan cepat.

"Saya difahamkan ada sebahagian daripada mangsa banjir yang barangan mereka rosak teruk dan tidak dapat diselamatkan," katanya kepada pemberita selepas melawat keluarga dua kanak-kanak yang mati lemas selepas terjatuh dalam tali air di Tanjung Bendahara dekat sini pada Isnin.

Pada 4 Nov lepas, dua kanak-kanak Nur Irshah Rosli, 9, dan Awwab Hakimi Rudaini, 7, dilapor hilang ketika bermain di kawasan tali air berhampiran sawah padi yang dipenuhi air.

Mayat Nur Irshah dijumpai oleh pasukan penyelamat Jumaat lepas dan selamat dikebumikan di tanah perkuburan Masjid Tanjung Bendahara dekat sini manakala seorang lagi mangsa, Awwab belum ditemui.

Hadir sama dalam lawatan itu Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Kedah Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah yang turut menyampaikan sumbangan kepada keluarga mangsa lemas.

Meme berkata sehingga kini JKM masih menyalurkan bantuan kemanusiaan kepada lebih 28,208 orang mangsa banjir melibatkan 6,874 keluarga yang masih berada di 70 pusat pemindahan banjir di Kedah.

Sementara itu, Bashah berkata beliau berterima kasih kepada kerajaan persekutuan yang telah menubuhkan satu jawatankuasa khas bagi mengurus dan membantu mangsa banjir.

Beliau berkata ini menunjukkan kerajaan persekutuan amat prihatin dengan nasib yang menimpa rakyat di negeri ini dalam usaha untuk memulihkan kembali mangsa-mangsa yang terjejas banjir.

"Kita akan menggerakkan semua ahli dan pemimpin akar umbi parti komponen Barisan Nasional (BN) untuk membuat bancian terhadap semua rumah yang mengalami kerosakan teruk bagi membolehkan bantuan disalurkan tanpa mengira kaum dan parti politik," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain