suria

Koperasi Untuk Kaum Cina Pertama Di Kelantan Ditubuhkan

GUA MUSANG: Gua Musang menjadi jajahan pertama di Kelantan menubuhkan koperasi khusus kepada kaum Cina sebagai usaha meningkatkan pendapatan masyarakat itu dalam sektor perniagaan.

Timbalan Menteri Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Datuk Tan Lian Hoe berkata koperasi yang diberi nama "Koperasi Niaga Gua Musang Sdn Bhd" itu sudah dibuka pendaftaran dan kini mempunyai lebih kurang 200 ahli.

Katanya, hasrat Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk melihat Malaysia mencapai status negara maju serta rakyat berpendapatan tinggi, antaranya dapat direalisasikan menerusi penubuhan koperasi berkenaan.

"Rakyat harus sahut seruan kementerian menerusi Suruhanjaya Koperasi Malaysia untuk menubuhkan lebih banyak koperasi kerana kita tahu kuasa beli itu sudah ada, Jadi kita harap pada 2013, kita dapat capai 10 juta ahli dan saya harap rakyat ambil peluang ini untuk mndapatkan bantuan modal," katanya kepada pemberita di sini.

Beliau berkata penubuhan koperasi ini akan menjadi pemangkin kepada perkembangan ekonomi bagi golongan berpendapatan rendah di Gua Musang, memberi manfaat kepada setiap ahlinya dengan memberi pendapatan tambahan serta mengurangkan kos kehidupan menerusi potongan harga barangan yang dibekalkan menerusi koperasi.

Katanya, KPDNKK komited membangunkan "ekonomi berkoperasi" menerusi pelancaran kempen "1Komuniti 1Koperasi, namun ia tidak akan berkesan sekiranya masyarakat tidak merebut peluang yang disediakan.

"Saya harap mereka merebut peluang ini dengan menjadi ahli koperasi yang aktif iaitu bukan saja memasarkan barang jualan mereka dalam pasaran domestik tetapi turut merangkumi pasaran antarabangsa," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain