suria

PM India Bangga Dengan Masyarakat India Di Malaysia

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri India, Manmohan Singh yang dijadual melakukan lawatan dua hari ke Malaysia bermula Selasa ini akan menyaksikan sebuah masyarakat India yang progresif di negara ini.

Semasa lawatan itu, Manmohan juga akan menyaksikan pengiktirafan yang diberi kepada rakyat Malaysia keturunan India apabila beliau merasmikan 'Little India' di Brickfields bersama rakan sejawatan di Malaysia Datuk Seri Najib Tun Razak.

Manmohan tahu yang masyarakat India di Malaysia berkembang maju seiring dengan masyarakat lain, terima kasih kepada mereka seperti Tan Sri G.Darshan Singh yang membantu menonjolkan pencapaian serta sumbangan mereka dengan asal-usul dari benua kecil India di Malaysia.

Presiden Pergerakan Kebangsaan Sikh Malaysia (GERAKSIKH) itu yang pada tahun lepas secara peribadi menyampaikan buku nukilan beliau kepada Manmohan di New Delhi bertajuk "Sikh Community of Malaysia" (Masyarakat Sikh di Malaysia) memberitahu Bernama bahawa perdana menteri itu kagum dengan Malaysia dan masyarakat Indianya.

"Beliau sangat berminat untuk mengetahui lanjut akan masyarakat Sikh dan masyarakat India yang lain di Malaysia dan sehinggakan bertanya mengenai Gurdwara masyarakat Sikh serta aktiviti kebudayaan mereka.

"Beliau kagum dengan pencapaian Malaysia serta sumbangan masyarakat Sikh kepada negara.

"Apabila saya memaklumkannya yang asal-usul saya juga dari India, iaitu Punjab seperti beliau tetapi kini rakyat Malaysia, beliau menunjukkan reaksi gembira," kata Darshan Singh yang menambah kata di sepanjang pertemuan selama 30 minit itu mereka bertutur dalam bahasa Inggeris dan bahasa ibunda mereka Punjabi.

Semasa pertemuan itu Darshan Singh, yang diiringi Setiausaha Agung GERAKSIKH Datuk Amarjit Singh, juga mendapati Manmohan yang lembut tutur katanya itu, juga berpengetahuan tinggi serta berwawasan.

"Kaum Sikh menyambut baik kedatangan Manmohan dan lawatan ini adalah tepat pada masa dan penuh bermakna. Ia akan membantu memeterai ikatan antara India dan Malaysia serta rakyat kedua-dua negara.

"Masyarakat Sikh di sini bangga yang seorang daripada anggota masyarakat mereka menerajui demokrasi terbesar di dunia," kata Darshan Singh merujuk kepada Manmohan yang disenaraikan majalah TIME sebagai antara 100 orang paling berpengaruh di dunia pada 2010.

Mengenai penghormatan yang diberi kepada Manmohan untuk merasmikan 'Little India' bersama Najib, Darshan Singh berkata ia merupakan pengiktirafan sumbangan mereka dari benua kecil India ini yang kini merupakan rakyat Malaysia dan membuktikan lagi hakikat yang mereka kini sebahagian daripada keluarga besar Malaysia.

Ia juga mengiktiraf kuasa ekonomi yang terus meningkat dalam kalangan masyarakat India di sini dan peluang yang luas terbuka bagi mereka yang sanggup berusaha gigih. - BERNAMA

Artikel Lain