suria

Kira-Kira 2,000 Beri Penghormatan Terakhir Kepada Mendiang Edmund Chong

KOTA KINABALU: Kira-kira 2,000 orang menghadiri upacara pengebumian Anggota Parlimen Batu Sapi, mendiang Datuk Edmund Chong Ket Wah, yang terbunuh dalam kemalangan jalan raya di sini Sabtu lepas.

Mereka yang terdiri daripada orang tersayang dan sanak saudara, petugas atau kalangan yang bekerja dengan mendiang, rakan-rakan Anggota Parlimen, ahli politik dan pemimpin, berhimpun di Basel Christian Church of Malaysia (BCCM) di Likas untuk menghadiri upacara keagamaan serta memberi penghormatan terakhir.

Upacara itu berlangsung hampir tiga jam.

Tarikh hari ini begitu istimewa kerana bertepatan dengan ulang tahun ke-26 perkahwinan Chong dan isterinya Datin Linda Tsen Thau Lin.

"Bapa saya seorang lelaki romantik, yang akan memegang tangan ibu atau memeluk bahunya semasa mereka berjalan beriringan. Beliau sering mengejutkannya dengan hadiah, dan membawanya bercuti ke seluruh dunia.

"Beliau membawa ibu ke Paris untuk meraikan hari jadinya dan tahun lepas, mereka ke China untuk menyambut ulang tahun ke-25 perkahwinan. Hari ini ialah ulang tahun ke-26, namun bapa sudah tiada lagi untuk meraikannya bersama ibu," kata anak perempuannya, Steffi, 18, semasa menyampaikan kata-kata sanjungan bersama adik beradiknya yang lain.

Anak perempuan sulungnya, Jamie, 23, mengingati mendiang bapanya sebagai bapa yang penyayang dan pengasih, yang akan mengunjungi ketiga-tiga anak perempuannya di Australia apabila beliau dapat meluangkan masa daripada kesibukan kerja. "Semasa kami berada di Brisbane, beliau akan menelefon pada waktu yang agak janggal dan bila kami tanya, 'Ada apa?', beliau hanya jawab 'Tidak ada apa-apa, hanya ingin bercakap dengan anak-anak.' Namun begitu kami dapat merasakan yang beliau merindui kami.

"Sekurang-kurangnya saya gembira kerana beliau hadir masa saya menerima ijazah tahun lepas," kata Jamie.

Charlene, 20, berkata selain bersikap positif dalam hidup, bapa mereka juga seorang yang berjiwa 'nekad'.

"Bapa meminati segala-gala yang pantas dan dilengkapi enjin. Sekali sekala, bapa mengejutkan ibu dengan membawa pulang motosikal baru. Beliau seorang yang sangat nekad - tanpa menghiraukan usianya, beliau gemar menaiki roller coaster di taman tema," katanya.

Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) Tan Sri Joseph Pairin Kitingan dan dua timbalannya, Datuk Seri Dr Maximus Johnity Ongkili serta Datuk Dr Yee Moh Chai, turut menyampaikan kata-kata sanjungan dalam upacara itu. Pairin berkata PBS kehilangan seorang bendahari agung yang menyertai perjuangan parti itu bagi membela nasib penduduk Sabah selama ini, dan secara peribadi, beliau kehilangan seorang rakan karib.

Dr Maximus pula menggambarkan mendiang Chong sebagai seorang pemimpin, seorang yang taat setia, seorang yang berterus terang, dan rakan yang baik.

"Beliau sudah pun menjadi pemimpin ketika memutuskan untuk menyertai parti ini. Beliau juga seorang jurutera yang berjaya dan memperoleh pendapatan lumayan, namun beliau memiliki hasrat dan komitmen untuk berkhidmat kepada rakyat. Beliau seorang yang taat setia... setia kepada rakan dan kepada parti.

"Beliau juga sentiasa berterus terang, dan apabila di Parlimen, beliau tidak teragak-agak untuk menyatakan perkara yang benar, dan akhir sekali, beliau seorang sahabat yang baik. Saya tak dapat memikirkan pada bila-bila masa pun yang beliau mempunyai musuh," kata Maximus.

Dr Yee berkata kekosongan yang wujud dalam parti itu tidak mudah untuk diisi, memandangkan mendiang Chong seorang ahli politik yang dihormati dan memahami perjuangan parti demi kebaikan negeri dan negara.

Turut hadir ialah Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Liew Vui Keong, Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat Datuk Dr Jeffrey Kitingan dan Timbalan Menteri Luar yang juga Anggota Parlimen Serian Datuk Richard Riot.

Mayat mendiang kemudiannya dikebumikan di tanah perkuburan Cina di Batu 5, Jalan Tuaran. - BERNAMA

Artikel Lain