suria

Pahang Mungkin Isytihar Kawasan Larangan Di Tempat Mengorek Pasir

TEMERLOH: Kawasan mengorek pasir di sepanjang sungai Pahang berkemungkinan diisytiharkan sebagai kawasan larangan kepada orang ramai untuk sebarang kegiatan. Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Sains, Teknologi dan Inovasi Pahang Datuk Mohd Sharkar Shamsuddin berkata cadangan itu akan dikemukakan pada mesyuarat mingguan Exco minggu depan.

Beliau berkata tindakan itu perlu memandangkan kawasan mengorek pasir di sepanjang sungai Pahang dan beberapa sungai di negeri itu sangat bahaya kerana paras airnya dan mempunyai banyak kawasan pasir jerlus.

"Saya akan membawa perkara ini kepada mesyuarat mingguan Exco supaya satu larangan akan dikuatkuasakan bagi mengelakkan kejadian mati lemas berlaku di kawasan mengorek pasir," katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas meninjau kawasan mengorek pasir dekat Kampung Buntut Pulau di sini Selasa di mana berlaku kejadian lemas membabitkan seorang pemandu lori ketika menangkap ikan di situ pada petang Isnin lepas.

Mohd Sharkar berkata kebanyakan kejadian mati lemas di daerah Temerloh berlaku di kawasan mengorek pasir di mana orang ramai suka menangkap ikan di kawasan terbabit.

Katanya antara cadangan yang akan dikemukakan adalah supaya mengkaji keperluan pengawal keselamatan bertugas 24 jam di kawasan operasi untuk menghalang orang ramai atau penduduk tempatan memasuki kawasan bahaya itu.

Beliau juga menggesa pemilik pam pasir di negeri itu mengambil inisiatif sendiri dengan meletakkan papan tanda amaran dilarang masuk ke kawasan berkenaan.

"Tindakan itu perlu kerana dengan adanya papan tanda seumpama itu sekurang-kurangnya akan menjadi peringatan kepada orang ramai daripada menceroboh kawasan tersebut," kata Mohd Sharkar. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain