suria

23,000 DVD Haram Dan Lucah Dirampas Di Pasar Borong Pandan, Johor Baharu

JOHOR BAHARU: Bahagian Kawalan Penapisan Filem dan Penguatkuasaan Kementerian Dalam Negeri Johor menahan tujuh lelaki dan merampas 23,000 keping DVD tanpa sijil B serta lucah dalam operasi ke atas tujuh premis di Pasar Borong Pandan di sini semalam.

Ketuanya Mohd Nashuddin Daud berkata kesemua 20,000 DVD tanpa sijil B pelbagai judul filem tempatan dan antarabangsa serta 3,000 DVD lucah itu dianggarkan bernilai RM130,000.

"Operasi yang melibatkan 34 anggota penguatkuasaan itu turut dibantu kakitangan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas)," katanya kepada pemberita di sini Jumaat.

Nashuddin berkata ketujuh-tujuh lelaki berumur 19 hingga 25 tahun itu akan disiasat mengikut Seksyen 18 dan Seksyen 5 Akta Penapisan Filem 2002.

Siasatan, katanya mendapati kesemua premis berkenaan pernah diserbu sebanyak empat kali sejak Januari lepas.

"Operasi ke atas DVD tanpa sijil B dan lucah ini akan diteruskan dari semasa ke semasa. Orang ramai diminta menghubungi Bahagian Kawalan Penapisan Filem dan Penguatkuasaan Kementerian Dalam Negeri Johor di talian 07-2269642 atau 07-2269643 sekiranya mempunyai sebarang maklumat mengenai kegiatan ini," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain