suria

Kes Hak Jagaan Anak Saudara Angkasawan Selesai Cara Baik

SHAH ALAM: Kes permohonan ibu bapa angkasawan pertama negara, Datuk Dr Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustapha bagi mendapatkan hak penjagaan dua orang cucu selepas kematian bapa mereka tiga tahun lepas, selesai apabila semua pihak terlibat bersetuju diselesaikan secara baik di luar mahkamah.

Perjanjian itu ditandatangani di Mahkamah Tinggi Syariah di sini hari ini di hadapan Hakim Syarie Mohammad Adib Husain.

Persetujuan itu adalah berdasarkan terma-terma yang dipersetujui oleh pihak-pihak terlibat. Bagaimanapun ia tidak dijadikan sebagai perintah mahkamah.

Pada 23 Disember 2008, Datin Zuraida Sheikh Ahmad dan Datuk Sheikh Mustapha Sheikh Abdul Shukor memfailkan permohonan bagi mendapatkan hak penjagaan dua cucu mereka, Sheikh Aiman Shukor Al-Masrie, 5, dan Siti Balkish Aisha Al-Masrie, 3, kerana mendakwa kanak-kanak itu telah berada dalam asuhan mereka sejak dilahirkan.

Zuraida, 65, dan Sheikh Mustapha, 75, selaku plaintif menamakan menantu mereka, Haryati Mohd Redza, 32, dan ibu Haryati, Kamar Aziah Abdullah, 62, sebagai defendan.

Ibu bapa angkasawan pertama negara itu memfailkan permohonan tersebut mengikut Seksyen 87(1) Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Negeri Selangor 2003.

Sheikh Aiman dan Siti Balkish merupakan anak kepada adik Dr Sheikh Muszaphar, Sheikh Mustapha Al Masrie, 32, seorang jurutera awam, yang meninggal dunia di Pusat Perubatan Universiti Malaya pada 27 Okt 2007, selepas koma seminggu akibat kecederaan di kepala kerana terhantuk pada tiang di sebuah restoran di Jalan Klang Lama, Kuala Lumpur.

Allahyarham bernikah dengan Haryati, seorang eksekutif akaun di MIMOS Bhd, pada 6 September 2003.

Pada prosiding hari ini, Sheikh Mustapha diwakili peguam syarie Zulqarnain Lukman sementara Haryati diwakili peguam syarie Fakhrul Azman Abu Hassan.

Persetujuan tersebut dicapai selepas kes itu telah pun dibicarakan dan Sheikh Mustapha juga telah memberi keterangan di mahkamah yang sama.

Dalam reaksinya berhubung penyelesaian isu hak jagaan itu, Sheikh Mustapha berkata beliau enggan memanjangkan isu penjagaan Sheikh Aiman dan Siti Balkish kerana tidak mahu mengeruhkan hubungan kekeluargaan.

Sheikh Mustapha berkata beliau dan isteri sering berdoa supaya diberikan petunjuk sepanjang berada di Tanah Suci Mekah selama 18 hari bermula 29 Ogos lepas.

"Alhamdulillah, Allah telah bukakan hati kami dan menantu untuk selesaikan masalah. Ini adalah jalan terbaik yang diberikan selepas pulang dari mengerjakan umrah apatah lagi hubungan kami dengan Haryati pun semakin baik," katanya.

Sheikh Mustapha juga berkata, beliau dan Haryati ada berbuka puasa bersama pada bulan Ramadan yang lepas dan Haryati turut bersama menantu yang lain mengerjakan solat terawih.

"Dia pun masih menantu saya dan pernah berkongsi hidup dengan anak saya. Keputusan ini juga adalah yang terbaik kerana kes ini ibarat menepuk air di dulang, terpercik ke muka sendiri, tidak seronok melihat perkara sebegini didedahkan di akhbar," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

24 Rumah rosak Dilanda Ribut

Artikel Lain