suria

Pendaftaran Untuk MyTentera Di Sabah Selesai Akhir Oktober

KOTA KINABALU: Pendaftaran kad pengenalan pintar MyTentera bagi semua anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang berkhidmat di Sabah dijangka selesai menjelang 31 Oktober depan.

Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Lee Chee Leong berkata sejak kad pengenalan pintar itu diperkenalkan 27 Ogos lepas, seramai 1,719 anggota di Sabah telah didaftarkan.

"Saya difahamkan terdapat lebih 5,000 anggota berkhidmat di Sabah dan kita yakin semua mereka dapat didaftarkan sebelum akhir bulan depan agar mereka tidak terkecuali daripada manfaat kad pengenalan pintar ini," katanya kepada pemberita selepas mendengar taklimat mengenai operasi dan aktiviti Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Negeri Sabah oleh Pengarah JPN Negeri Jaffear Henry di sini, Sabtu.

Kad pengenalan pintar MyTentera, yang serupa kad pengenalan pintar MyKad dengan ciri-ciri keselamatan terbaik dan teknologi biometrik di dalam reka bentuknya, diperkenalkan bagi menggantikan kad pengenalan BAT C 10.

Penggunaan kad MyTentera juga akan memberi imej lebih baik kepada ATM sebagai agensi keselamatan negara serta dapat menjamin keselamatan daripada ancaman pemalsuan dan pengklonan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain