15 Maut Pada Hari Kesembilan Ops Sikap Ke-22 - Semasa | mStar

15 Maut Pada Hari Kesembilan Ops Sikap Ke-22

KUALA LUMPUR: Lima belas kematian dicatat pada hari kesembilan Ops Sikap ke-22 semalam, menjadikan jumlah korban kemalangan jalan raya sejak operasi sempena Hari Raya Aidilfitri itu bermula 3 September meningkat kepada 154 orang.

Menurut laman web Polis Diraja Malaysia, penunggang motosikal paling banyak terkorban berbanding pengguna kenderaan lain iaitu seramai 10 orang, manakala pengguna kereta yang terbunuh pula ialah dua orang, diikuti oleh pejalan kaki iaitu tiga orang.

Selain itu, 1,030 kemalangan dilaporkan berlaku semalam iaitu 78 di lebuh raya, 464 di jalan persekutuan, 213 jalan negeri, 219 jalan bandaran dan 56 lagi di jalan-jalan lain.

Sejumlah 5,878 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan jalan raya.

Sementara itu, pihak berkuasa juga bersiap sedia menghadapi aliran trafik yang tinggi hari ini dan kemungkinan berlaku kesesakan teruk apabila orang ramai yang berhari raya atau bercuti pulang ke destinasi masing-masing.

Jurucakap Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) berkata aliran trafik di semua lebuh raya berada dalam keadaan lancar setakat ini dan dijangka mengalami kesesakan selepas tengah hari terutamanya di Lebuhraya Utara-Selatan.

Katanya lorong kanan di Jambatan Pulau Pinang menghala ke pulau dari KM 2.0 ke KM 2.1 serta lorong kanan menghala ke Perai masih ditutup untuk kerja-kerja pembaikan kabel Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Semalam kebakaran kabel bervoltan tinggi itu menyebabkan kesesakan teruk di Jambatan Pulau Pinang. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan

Artikel Lain