suria

Farish Aziz Tempah Baju Nikah

Pemilik Dzull D'Classique sedang mengambil ukuran untuk baju majlis pertunangan Farish.
Pemilik Dzull D'Classique sedang mengambil ukuran untuk baju majlis pertunangan Farish.
Pemilik Dzull D'Classique sedang mengambil ukuran untuk baju majlis pertunangan Farish.

BIASANYA kalau masuk bulan Ramadan, orang sibuk tempah Baju Melayu. Tapi pelakon Farish Aziz,26, ni pula lain kisahnya.

Beberapa hari sebelum puasa, Niezam terima gambar-gambar eksklusif yang dikirimkan seseorang.

Gambar-gambar itu menunjukkan pereka fesyen Baju Melayu ternama, Zul D’Clasique di Kajang, Selangor sedang mengambil ukuran baju Farish.

Petang Jumaat lalu Niezam telefon Farish yang berada di Kota Kinabalu, Sabah. Dia balik kampung untuk berbuka puasa bersama keluarga.

Tanpa menafikan perkara itu, kata Farish dia memang menempah Baju Melayu warna putih untuk bertunang. Dalam masa yang sama dia juga menempah satu pasang lagi Baju Melayu warna hijau untuk dipakai pada Hari Raya Aidilfitri nanti.

Niezam tanya Farish lagi bila dia nak bertunang? Kata Farish buat masa ini dia belum merancang tarikhnya tetapi Insya-Allah kalau tak ada aral melintang awal tahun depan dia orang akan bernikah.

Yang hebat kisah cinta Farish ni, dia kenal dengan bakal tunangnya sudah 13 tahun. Mereka belajar di sekolah yang sama di Sekolah Menengah All Saints’ Kota Kinabalu.

Habis sekolah, buah hati Farish bawa diri ke Australia untuk sambung belajar dalam bidang undang-undang.

Walaupun terpaksa bercinta jarak jauh, hubungan Farish dengan si dia masih kuat dan dia orang tetap setia dengan janji cinta mereka. Wah... hebat betul.

Sehinggalah pada tahun lalu wanita itu pulang dan setelah ada pekerjaan sendiri sebagai peguam, akhirnya dia orang pun sepakat nak kahwin.

“Mula-mula tu kami tak rancang pun nak kahwin. Cuma borak-borak. Entah macam mana timbul hasrat nak kahwin, terus keluarga kami buat perancangan,” kata Farish yang mahu merahsiakan nama bakal tunangnya itu.

Baguslah si dia dapat bakal suami macam Farish yang baik budi pekertinya dan tak menyombong. Walaupun sudah 13 tahun bercinta, mereka tetap setia. Susah nak dapat orang yang macam tu.

Niezam: Tak sombong tapi pemalu...

Jangan hangat-hangat tahi ayam

Setiap kali masuk bulan Ramadan, semua orang sibuk. Orang yang bekerja sibuk nak beli kuih muih sampai tak cukup tangan. Kalau boleh kuih muih tu hendak diusung dalam bakul macam jual beli durian.

Artis-artis kita pun sama naik juga. Bulan Ramadan bulan dia orang cari rezeki yang datang melimpah ruah.

Rezeki berlakon, menyanyi untuk program-program raya datang mencurah-curah.

Pada tahun lalu ramai artis kita berniaga. Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) sediakan tapak berniaga untuk mereka yang bertempat di Persiaran Gurney, Kuala Lumpur.

Niezam diberitahu kira-kira 50 tapak perniagaan diberikan kepada artis. Antara artis yang berniaga seperti Harun Salim Bachik, Shahriza Mahmud, Zed Zaidi, Rosnah Johari dan ramai lagi.

Baguslah kalau semuanya ada komitmen hendak berniaga. Tapi jangan hangat-hangat tahi ayam cukuplah.

Bukan apa, artis kita kadang-kadang suka buat kerja separuh jalan. Hari pertama, kedua, Ramadan mungkin ramai yang boleh tunggu gerai. Masuk minggu dekat-dekat hujung Ramadan, tinggallah orang lain yang jaga gerai. Begitulah selalunya kalau artis kita berniaga.

Sebenarnya peminat suka tengok gelagat artis. Sebab itulah kalau ada artis berniaga, masak tak sedap pun makanan boleh licin.

Sempena bulan Ramadan ni Niezam malas nak mengata lebih-lebih takut batal puasa. Sekadar nak nasihat kepada artis, kalau nak berniaga tolong beri komitmen sepenuhnya.

Kualiti makanan kenalah jaga. Jangan sampai disumpah oleh pelanggan cukuplah.

Niezam: Merasa popiah besar lengan di Seksyen 14, Petaling Jaya.

Filem Box-office tak semestinya bagus

Esok adalah hari terakhir Mohd. Mahyidin Mustakim akan berkhidmat sebagai Ketua Pengarah Finas.

Kerusinya yang panas itu masih belum diketahui akan menjadi milik siapa selepas ini. Niezam dengar cerita Mohd. Mahyidin memohon agar kontraknya disambung sehingga hujung tahun ini tapi masih belum ada keputusan.

Maknanya, kalau beliau tak dapat apa-apa surat esok, terpaksalah beliau cari kotak untuk bungkus apa-apa barang yang patut.

Tapi Niezam agak terkejut apabila ada orang-orang filem yang masih tak puas hati selepas pihak kementerian berkenaan mengadakan pertemuan dengan 13 presiden persatuan yang bernaung di dalam Gabungan Persatuan Karyawan Filem Malaysia (Gafim) pada 9 Ogos lalu.

Alasan yang orang filem terkejut Ahmad Idham dan David Teo dikekalkan sebagai ahli lembaga pengarah Finas disebabkan kedua mereka berjaya membuat filem yang mendapat kutipan box-office. Kehebatan itu dikatakan seharusnya menjadi contoh kepada pembikin filem yang lain.

Sebenarnya, sesebuah filem yang baik bukan boleh diukur kepada kutipan box-office. Tak semua filem yang mencapai kutipan tinggi baik kualitinya.

Filem-filem di Malaysia yang selalunya box-office adalah filem-filem yang tidak membuka minda.

Filem-filem box-office kita selalunya filem remeh, kisah cinta yang busuk serta cerita seram yang tak seram mana dan lawak yang ntah apa-apa.

Filem-filem yang mempunyai kualiti dari segi karyanya seperti filem-filem sejarah susah nak dapat sambutan. Sebabnya minda orang kita sudah diracun dengan filem-filem box-office yang sesetengahnya macam “hampeh”.

Apabila ada orang berkata kejayaan seseorang itu diukur berdasarkan kepada filemnya yang box-office, perkara itu memang tak boleh pakai langsung.

Jadi selepas ini pihak-pihak berkenaan janganlah bagi jawapan tersebut. Carilah jawapan lain yang lebih berkualiti dan bukannya jawapan hampeh macam filem-filem yang hempeh juga.

Niezam: Hampa!

Artikel Berikut

Artikel Lain