suria

Akta Bank Negara: Hanya BNM Berhak Kaluarkan Matawang

PETALING JAYA: Bank Negara Malaysia (BNM) menegaskan, hanya mata wang ringgit sah diperakukan bagi pembayaran barangan dan perkhidmatan di negara ini.

Kenyataan itu sekali gus menolak penggunaan dinar dan dirham yang diperkenalkan di Kelantan.

Bank pusat itu dalam kenyataannya pada Jumaat berkata, di bawah undang-undang negara ini, hanya BNM sahaja yang berhak untuk mengeluarkan mata wang di Malaysia.

Berdasarkan Perkara 61, 62 dan 63, Akta Bank Negara 2009 yang antara lain menyebut bahawa BNM sahaja berhak mengeluarkan wang kertas dan syiling yang diperakui di Malaysia dalam singkatan dikenali RM atau MYR. Penjelasan itu dibuat oleh BNM berhubung pelancaran mata wang dinar dan dirham Kelantan yang digunakan sebagai alternatif kepada mata wang sedia ada.

Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, mata wang itu boleh digunakan di kira-kira 1,000 buah kedai dan restoran sebagai transaksi perniagaan pada Khamis.

Malah, beliau menyifatkan penggunaan dinar dan dirham sebagai alternatif kepada Ringgit Malaysia tidak bertentangan dengan undang-undang dan ia dirangka mengikut peruntukan yang disediakan oleh BNM.

Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan, Datuk Husam Musa menjelaskan pengenalan mata wang berkenaan adalah sebahagian daripada sistem barter dan bukannya mata wang kedua untuk negeri ini.

Tegasnya, banyak pihak keliru dengan pelancaran mata wang syariah tersebut sedangkan ia hanya pengenalan kepada sistem barter yang menggunakan logam emas dan perak.

Pada masa sama, beliau turut menyalahkan beberapa agensi berita kerana menyiarkan laporan tidak tepat mengenai dinar emas dan dirham perak sehingga menimbulkan kekeliruan.

Artikel Lain