suria

Benarkah Rosyam Nor Sudah Hilang Peminat?

MALAM Jumaat lepas Niezam bukalah satu portal hiburan. Portal ni selalu menyiarkan komen orang ramai tentang artis termasuklah kisah yang tak tergamak hendak dibaca.

Dalam portal itu dia orang turut membuat undian adakah Rosyam Nor masih ada peminat? Daripada 11 senarai artis, tiada satu pun yang mengundi Rosyam Nor sebaliknya tempat tertinggi masing-masing menjadi milik Shaheizy Sam dan Remy Ishak. Tempat kedua pula menjadi milik Fizz Fairuz.

Persoalannya di sini kenapa orang sudah tidak minat lagi dengan Rosyam walaupun satu Malaya tahu Rosyam pelakon yang hebat? Rosyam bukan calang-calang artis. Dia ibarat KLCC. Susah nak tumbang melainkan jambatan yang tengah KLCC tu kena langgar jet.

Kalaulah undian tu boleh dipercayai, banyak faktor orang sudah tidak minat Rosyam lagi. Pertamanya orang kurang senang bila Rosyam naik angin ketika dia dipanggil hero tua. Di Hollywood ramai pelakon tua masih lagi jadi hero. Di sini bila hero dipanggil tua, Rosyam tak suka tetapi dia suruh panggil hero senior. Yang lebih tua dengan yang lebih senior tu sama saja maksudnya.

Komen Rosyam tu mungkin ada asasnya sebab dia nak gelaran diberikan kepada seseorang pelakon lebih beralas. Jangan main sebut saja. Keduanya orang tak minat Rosyam lagi sebab banyak sangat kontroversi dia sejak kebelakangan ini. Niezam dengar cerita kesan yang Rosyam terima sampaikan uji bakat Pilih Kasih pun tidak mendapat sambutan.

Sekiranya undian itu boleh dipercayai, Rosyam kena mencari jalan supaya dia boleh membuktikan hero senior macam dia akan kekal hebat macam bintang-bintang Hollywood. Rosyam berada dalam zon merah atau dalam erti kata lain semakin bahaya sekiranya tiada sesiapapun yang menaruh minat kepada dia.

Apakah pendekatan untuk mengekalkan kehebatan Rosyam tu dia kena fikir. Jadi, Rosyam kena carilah jalan untuk keluar dari zon merah itu.

Niezam: Zon selesa.

Wartawan Malaysia lebih baik

MAJLIS Ulama Indonesia (MUI) mengeluarkan fatwa rancangan berunsur gosip di televisyen negara itu adalah haram. Yang buat rancangan itu pun haram, yang tengok pun sama juga haram.

Kata MUI, program infotainment di negara itu yang mendedahkan cerita “dalam kain” serta menimbulkan aib artis tidak boleh disiarkan. Maka jalan terbaik fatwa mengharamkannya dikeluarkan.

Orang pertama yang membuatkan MUI mengkaji fatwa tersebut ialah berpunca daripada Luna Maya yang naik angin bila kisah peribadinya didedahkan wartawan infotainment. Luna memanggil wartawan berkenaan pelacur sehingga dia diboikot.

Tapi akhirnya Luna Maya pula yang tanggung malu sebab video lucahnya dengan Ariel yang macam pelacur itu telah tersebar.

Memang Niezam tak nafikan. Pengendali rancangan hiburan stesen televisyen di Indonesia memang teruk perangai mereka. Dia orang berebut-rebut nak dapatkan berita panas. Berita-berita panas artis dijual di stesen televisyen untuk mendapatkan duit sehingga ia boleh jadi breaking news.

Suatu ketika dulu rancangan televisyen kita pun nak jadi macam infotainment di Indonesia. Terjah namanya. Wartawan Terjah sanggup menyorok celah semak dan tepi pasu bunga sebab nak “snap” gambar artis berjalan pegang tangan dengan Datuk.

Nasib baik wartawan tu tak kena “sergah” dengan tedung senduk. Kalau tidak sia-sia saja mati katak.

Artis-artis di Malaysia boleh dikira nasib baik. Wartawan di sini masih boleh bertolak ansur dengan artis. Tapi sejak kebelakangan ni ada artis yang naik lemak. Mungkir janji dan macam-macam lagi.

Kalau wartawan di sini semuanya macam wartawan infotainment yang sanggup “pasang kelambu” depan rumah artis, nampak gayanya artis kita tak boleh keluar rumah ikut pintu. Terpaksa terjun ikut bumbung.

Kehebatan wartawan di Malaysia ni diakui sendiri oleh Rossa dan Krisdayanti. Kata Rossa, kalau nak bercerita segala-galanya boleh diceritakan kepada wartawan Malaysia. Jangan kepada wartawan di Indonesia.

Niezam dengar sendiri kata-kata itu keluar daripada mulut Rossa. Maka Rossa pun ceritalah segala-galanya termasuklah cerita “dalam kain” sampaikan Niezam terpaksa sumbat kertas surat khabar dalam telinga.

Itu satu baiknya wartawan di negara ini yang harus dikenang oleh artis Malaysia.

Niezam: Tak jahat, nakal je!

Tak boleh kaya kalau duduk rumah

Seorang artis telah menghantar e-mel kepada Niezam. Kata artis itu, tak payah kerja teruk-teruk. Duduk di rumah pun duit boleh masuk. Buat kerja dari rumah saja.

Niezam balas e-mel dia. Niezam kata, “aku tak nak kaya dengan hanya duduk di rumah.” Lepas tu terus si artis tu tak balas-balas sampai sekarang.

Macam inilah. Tak ada orang dalam dunia ni boleh duduk saja kalau nak kaya. Semua orang nak kaya kena bekerja. Kalau ada orang kata dia boleh jadi kaya dengan hanya duduk di rumah dan buat kerja dari rumah, itu pembohong namanya.

Sekarang ini ramai artis jadi mangsa orang nak mengaut keuntungan. Maka macam-macam skim cepat kaya muncul menggunakan nama artis. Artis yang nak kaya cepat pun terpedaya dengan kata-kata tak payah kerja kuat tapi boleh kaya. Kalau jadi masalah, orang akan cari artis dulu. Akhirnya artis juga yang dicop jahat dan penipu.

Kepada semua artis, Niezam berpesan satu sahaja walau macam mana hebat kita sekalipun, kita kena kerja untuk jadi kaya. Niezam: Urut tapak kaki.

Artikel Lain