suria

30 Aktivis Ditahan Dalam Perhimpunan GMI Dibebaskan - KP Selangor

KUALA LUMPUR: Seramai 30 aktivis termasuk lapan wanita yang ditahan polis kerana menyertai satu perhimpunan haram anjuran Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) di luar sebuah pusat membeli-belah di sini malam Ahad, dibebaskan secara berperingkat sejak awal pagi Isnin.

Ketua Polis Selangor Datuk Khalid Abu Bakar berkata mereka semua dibebaskan dengan jaminan polis selepas keterangan mereka diambil.

"Tapi ini tidak bermakna mereka tidak akan dipanggil semula. Sekiranya ada keperluan kita akan panggil," katanya ketika dihubungi Bernama di sini.

Antara yang ditahan pada perhimpunan yang disertai kira-kira 100 orang itu ialah Pengerusi GMI Syed Ibrahim Syed Noh dan Setiausaha agung Parti Sosialis Malaysia S. Arutchelvan.

Sementara itu, mengulas mengenai kes 20 tahanan warga Afghanistan yang melarikan diri dari Depot Tahanan Imigresen Lapangan Terbang Antarabangsa KL semalam, Khalid berkata sehingga kini belum ada tangkapan dibuat.

"Kami minta orang ramai di sekitar kawasan berdekatan hubungi polis sekiranya ternampak warga asing dalam keadaan mencurigakan," katanya

Semua pendatang tanpa izin itu dipercayai melarikan diri pukul 3 pagi selepas memotong dua batang besi jeriji pagar di depot tahanan tersebut. - BERNAMA

Artikel Lain