suria

Jalan Raya Menguhubungkan Tawau-Semporna- Kunak Terputus

TAWAU: Jalan raya di kilometer 42, Jalan Tawau-Semporna terputus lewat malam tadi mengakibatkan ratusan pengguna jalan raya dari kedua-dua arah tidak dapat meneruskan perjalanan ke destinasi masing-masing.

Tinjauan Bernama di lokasi mendapati tebing kiri dan kanan jalan raya berkenaan runtuh akibat hakisan banjir yang berlaku di kawasan itu malam tadi.

Pihak berkuasa telah menutup jalan berkenaan. Jalan raya itu merupakan jalan utama untuk destinasi Tawau, Semporna, Kunak, Lahad Datu dan Sandakan. Seorang penumpang bas Ahmad Hadi, 56, berkata bas yang dinaikinya dari Sipitang tiba di kawasan itu pada kira-kira pukul 5 pagi dan ketika itu berpuluh-puluh kenderaan telah terkandas.

"Saya dimaklumkan seorang pengguna jalan raya yang mula-mula sampai di tempat kejadian bahawa jalan berkenaan runtuh kira-kira pukul 10 malam tadi," katanya.

Pembantu Menteri Kewangan Sabah Datuk Tawfiq Abu Bakar Titingan yang melawat lokasi kejadian berkata kerja membaiki jalan berkenaan giat dijalankan dan ia mungkin mengambil sedikit masa untuk disiapkan.

Tawafiq yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Apas menasihatkan pengguna kenderaan ringan dari Tawau supaya menggunakan jalan ladang iaitu Jalan Sungai Burung, sejauh 10 kilometer sebagai jalan alternatif untuk meneruskan perjalanan mereka ke Semporna, Kunak, Lahad Datu dan Sandakan.

Bagi pengguna kenderaan ringan dari arah Semporna, Kunak, Lahad Datu dan Sandakan pula boleh menggunakan jalan ladang Teck Guan untuk meneruskan perjalanan ke Tawau sebagai jalan alternatif.

Tinjauan Bernama mendapati kenderaan yang terkandas masih berbaris sepanjang empat kilometer dari kedua-dua arah jalan berkenaan.

Sementara itu, sebanyak 300 rumah di Kampung Pasir Putih, dekat sini dinaiki air dalam kejadian banjir kilat pada pukul 7.45 malam tadi, kata Presiden Majlis Perbandaran Tawau Ismail Mayakub.

"Air mula surut kira-kira tiga jam kemudian dan setakat pukul 9.30 pagi ini seramai 180 keluarga ditempatkan di Masjid An-Nur, Kampung Pasir Putih," katanya. -BERNAMA

Artikel Lain