suria

Dua Hakim Syarie Wanita Pertama Temui Perdana Menteri

PUTRAJAYA: Dua hakim syarie wanita pertama negara, yang akan memulakan tugas secara rasmi pada 2 Ogos, hari ini menemui Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di pejabatnya di sini.

Suraya Ramli, 31, dan Rafidah Abdul Razak, 39, bertemu dengan Najib selama kira-kira setengah jam mulai pukul 9 pagi.

Turut hadir isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom serta Ketua Pengarah Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia dan Ketua Hakim Syarie Tan Sri Ibrahim Lembut.

Suraya akan berkhidmat di Mahkamah Syariah Putrajaya dan Rafidah pula di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Najib telah mengumumkan pelantikan kedua-dua hakim wanita itu sebagai hakim syarie wanita pertama bagi mempertingkatkan keadilan dalam sesuatu kes berkaitan kekeluargaan dan hak-hak wanita dan keperluan semasa, awal bulan ini.

Jamil Khir ketika ditemui pemberita berkata pada pertemuan itu, Perdana Menteri telah memberikan amanat dan motivasi kepada mereka sebelum memulakan tugas secara rasmi Ogos ini.

Beliau berkata amanat itu juga sebagai pesanan kepada mereka dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab yang diberikan sebagai hakim syarie wanita pertama negara berikutan mereka sentiasa mendapat perhatian orang ramai terutamanya media.

"Ini kerana ini kali pertama hakim wanita akan mendengar kes dan kebetulan di mahkamah syariah, kes-kes membabitkan wanita juga semakin bertambah.

"Perdana Menteri telah memberikan motivasi, semangat dan nasihat agar mereka melihat kes-kes itu dengan sebaik mungkin, bukan untuk menyebelahi mana-mana pihak tetapi untuk memberi keadilan yang sebaik mungkin," katanya.

Suraya pula berkata beliau akan menjalankan amanah yang diberikan dengan adil dan mengikut hukum syarak.

Sebelum ini Suraya merupakan Penolong Pengarah Kanan Bahagian LAtihan Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia.

Rafidah ketika ditemui berkata amanat Perdana Menteri agar mereka melaksanakan tugas dengan baik akan dilaksanakan mengikut peruntukan undang-undang.

Beliau sebelum ini merupakan Penolong Pengarah Bahagian Latihan Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain