suria

Fazura beri amaran kepada kaki sibuk

Fazura naik angin memikirkan ramai individu yang suka jadi penyibuk.
 Fazura naik angin memikirkan  ramai individu yang suka jadi penyibuk.
Fazura naik angin memikirkan ramai individu yang suka jadi penyibuk.

AGAK terkejut Niezam membaca mesej yang ditulis oleh Fazura pelakon cantik jelita yang dikaitkan dengan seorang anak raja.

Niezam bukan nak ceritakan kisah dia dengan anak raja tetapi mesej Fazura dalam Facebook milik dia baru-baru ini.

Dalam mesej itu Fazura seolah-olah naik angin semacam. Fazura minta kepada kaki-kaki sibuk di luar sana jangan nak menyibuk. Jangan nak ambil tahu hidup orang, jangan itu dan jangan ini.

Di sini Niezam petik kata-kata Fazura itu: “Kita selalu kena sibuk dengan hidup orang lain. Apa dia orang buat... dengan siapa... pakai apa... bukan ada kena mengena dengan kita pun. Bukan menyusahkan hidup kita pun... Diri kita sendiri pun tak terjaga... hidup kita sendiri pun belum sempurna kenapa bila orang sibuk dengan hidup kita, mereka cerita, menokok tambah apa yang tak ada, kita marah... tapi bila kita buat pada orang lain macam tak ada apa-apa. Dah jadi hobi pula. Kenapa?”

Mengamati kata-kata itu, baru Niezam faham. Rupa-rupanya Fazura sedang naik angin dengan kaki-kaki sibuk yang selalu buat cerita bukan-bukan fasal dia dan menokok tambah cerita.

Niezam faham kata-kata itu dan kepada siapa dia tujukan. Untuk pengetahuan Fazura, dalam dunia memang ramai kaki penyibuk.

Orang di sekeliling akan jadi lebih sibuk kalau mereka nampak artis. Sebab itu artis selalu jadi mangsa dengan kaki-kaki sibuk walaupun si penyibuk tu perangai lebih teruk daripada artis.

Fazura kena ingat, apabila dia jadi artis, dia kena bersedia untuk berhadapan dengan cerita-cerita tak berguna, tak berjenis dan macam-macam lagi. Dan yang lebih penting Fazura dan artis-artis yang seangkatan dengan Fazura perlu menjaga imej agar tidak dipandang rendah oleh masyarakat.

Hari ini imej artis sudah banyak tercemar apabila kisah berebut jantan lebih banyak daripada kisah artis Malaysia bawa balik anugerah dari luar negara. Harap-harap Fazura tidak macam itu.

Niezam: Buat-buat sibuk.

PELAKON KITA TAK MALU

Penyanyi dan pelakon video lucah paling popular di Indonesia abad ini Ariel “Peterporn” tak mengaku dia adalah individu yang paling tak ada maruah merakamkan adegan itu. Luna Maya masih tak mengaku tapi Cut Tari dah.

Itu di Indon tetapi tidak di negara kita lain pula. Terbaru, Arja Lee mengaku berbogel dalam ...Dalam Botol.

Tahniah Arja kerana berani. Tak semua orang macam Arja. Di Malaysia hanya ada dua orang saja. Selain Arja, seorang lagi Zul Handy Black. Zul pun mengaku dia berbogel dalam filem Mantra.

Sebuah akhbar ada menyiarkan gambar itu dan terpaksa kelabukan bahagian “tutttt” Zul. Tak tahulah sebab apa.

Dua contoh itu menunjukkan artis kita semakin hebat, semakin tak senonoh dan tak tahu malu. Artis Indon yang memang terang-terangan buat perkara tak senonoh kalau boleh tak mahu orang tahu perbuatan buruk mereka.

Apa jadi dengan artis kita hari ini? Mereka bangga bercerita yang mereka sedang berbogel. Alasan yang tak boleh nak terima pakai mereka terpaksa ikut skrip. Penulis skrip pun bahalol. Harap-harap selepas ini penulis skrip semua jangan tulis skrip yang minta pelakon kita berbogel lagi. Geli.

Niezam takut kalau selepas ini filem-filem yang berani mati kerana pelakonnya berbogel mendapat kutipan box office, lebih ramai artis kita akan berbogel.

Apa-apa pun Niezam hendak mengucapkan tahniah kepada Arja Lee. Walaupun dia berbogel, adegan itu tidak dipotong oleh kilang penapis filem. Ini bermakna adegan itu tidaklah “selucah” mana. Raja Azmi pun boleh senyum filem mungkin boleh meletup. Tapi awas, jangan pula Raja Azmi kena sumbat dalam botol.

Niezam: Malu tapi mahu.

MAT DAN ARTIS TEGUK ARAK

Malam minggu lalu Niezam dapat satu panggilan telefon. Panggilan itu datang dari seseorang bernama Mat (bukan nama sebenar).

Mat minta Niezam bersedia sebab Mat dan geng-gengnya nak serbu seorang pelakon popular dengan penyanyi popular sedang teguk arak di sebuah kelab.

Selepas pukul 1 pagi, Mat telefon Niezam lagi. Dia minta maaf sebab bila dia and the gang sampai di kelab tu, dua artis yang dimaksudkan sudah pun berambus. Niezam petik kata-kata Mat.

Sila baca: “Helo Encik Niezam, dua artis tu dah blah. Dia orang macam tahu je nak kena tangkap. Kalau tidak, muka depan la esok surat khabar,” kata Mat penuh bangga.

Niezam tak cakap apa-apa cuma ucapan terima kasih dalam hati kerana mengganggu ketika orang sedang membuta.

Dalam masa yang sama Niezam mengucapkan syabas kepada dua artis yang tak insaf-insaf itu kerana terlepas dari kepungan Mat dan geng-geng dia. Kalau dua artis ini masuk perangkap Mat, mesti dia menyesal tak sudah.

Kalau Mat membaca tulisan ini, Niezam nak bagi tahu perbuatan Mat lebih teruk daripada dua artis yang sedang meneguk arak itu.

Kalau Mat seorang yang bertanggungjawab, dia tidak akan memasang angan-angan nak tangkap dua artis kerana nak popular.

Niezam tahu, kalau Mat dapat berkas artis itu nama Mat juga akan keluar dalam surat khabar dan popular di pejabat. Tapi kalau kita ada 1,000 pegawai macam Mat, hancurlah dunia.

Mat buat kerja sebab nak tangkap artis. Sedangkan dalam disko yang dia pergi tu bukan sahaja ada dua artis tersebut tapi ada juga orang lain. Kalau Mat jujur buat kerja, tangkaplah juga anak-anak muda kita yang sudah terpesong otak mereka.

Malang sekali Mat tak jujur. Maka Tuhan pun membuka hati dua artis itu untuk cepat-cepat melangkah keluar.

Kalau Niezam dapat pekerja macam Mat, esoknya terus dia akan dapat surat berhenti kerja.

Niezam: Tunggu surat comfirm.

Artikel Lain