suria

Kerajaan Negeri P.Pinang Siasat Kes Budak 9 Tahun Lahirkan Bayi Lelaki

GEORGE TOWN: Pihak berkuasa negeri akan menyiasat kebenaran laporan sebuah akhbar harian berbahasa Cina yang menyebut seorang murid Tahun Tiga di sini telah melahirkan bayi lelaki selepas mengadakan hubungan sulit dengan budak lelaki berusia 14 tahun.

Budak lelaki tersebut dikatakan jirannya.

Exco Kesihatan, Kebajikan dan Masyarakat Perihatin Negeri Pulau Pinang, Phee Boon Poh berkata, beliau sendiri terkejut apabila membaca berita tersebut kelmarin.

“Selepas membaca berita itu, saya telah mengarahkan jabatan-jabatan yang berkaitan di bawah potfolio saya supaya segera menyiasat kebenaran laporan itu. Ini adalah satu kes yang serius. Mengadakan hubungan seksual dengan perempuan di bawah umur boleh diklasifikasikan sebagai merogol,” katanya.

Phee menambah, masalahnya ialah laporan tersebut tidak mengandungi data dan maklumat yang lengkap. Bagaimanapun kata Phee pejabatnya telah merujuk kes tersebut kepada polis.

“Soalnya ialah jika kes ini benar-benar terjadi, sudah pasti pegawai perubatan yang bertanggungjawab mengendalikan kelahiran bayi lelaki ini akan melaporkan kes ini kepada Jabatan Kesihatan Negeri kerana ibunya baru berusia sembilan tahun. Jadi saya merayu kepada semua pihak yang tahu akan kejadian ini supaya tampil ke hadapan dan buat laporan,” ujar Phee lagi.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang, Penolong Pesuruhjaya Kanan Polis (I) Datuk Tun Hisan Tun Hamzah berkata, setakat ini tidak ada pihak yang tampil membuat laporan akan kejadian itu.

Sementara Pengarah Pelajaran Negeri, Ibrahim Mohamad berkata, pihaknya telah menghubungi semua pengetua sekolah di negeri itu dan mereka mengatakan tidak ada kes seumpama itu yang dilaporkan berlaku.

“Tetapi saya ada dimaklumkan oleh pegawai saya ada seorang murid perempuan yang sering mengambil cuti sakit sebelum berhenti belajar baru-baru ini. Tetapi saya tidak pasti sama ada kes itu ada kaitan dengan kes yang dilaporkan oleh akhbar Cina itu tetapi kita akan teruskan siasatan,” katanya.

Menurut laporan akhbar itu lagi, murid perempuan tersebut yang berasal dari sebuah keluarga yang berpecah belah telah melahirkan anak di sebuah hospital swasta bulan lalu.

Akhbar itu juga melaporkan, murid itu tidak kelihatan seperti seorang budak yang berusia sembilan tahun kerana saiznya yang besar.

Laporan itu turut menyebut, dia telah menjalinkan hubungan dengan jirannya seorang budak berusia 14 tahun ketika dia berusia lapan tahun lagi.

Bayi yang dilahirkan itu kini khabarnya di dalam jagaan nenek budak perempuan tersebut yang kemudiannya melaporkan tentang kelahiran bayi itu kepada sebuah organisasi bukan kerajaan (NGO).

NGO inilah yang menjadi sumber kepada laporan berita tersebut.

Artikel Lain