suria

Keadaan H1N1 Masih Terkawal - Liow

KUALA LUMPUR: Orang ramai tidak perlu bimbang dengan penularan wabak influenza A (H1N1) di negara ini kerana keadaan adalah terkawal, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai.

Beliau berkata kebanyakan kes yang berlaku sekarang adalah secara kluster dan perkembangannya dimaklumkan kepada orang ramai setiap hari bagi membolehkan masyarakat mengambil tindakan berjaga-jaga memandangkan kematian masih berlaku.

"Daripada segi pengawasan dan pemantauan kita teruskan...di dalam negara peningkatannya belum ke tahap yang membimbangkan. Ia masih kekal di tahap dua ke tiga peratus," katanya kepada pemberita, di sini hari ini.

Beliau ditemui pemberita selepas perasmian pameran kesihatan mulut dan rawatan pergigian di Pusat Kebajikan Ti-Ratana oleh isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor.

Mengulas lanjut, Liow berkata sehingga kini 88 orang disahkan meninggal dunia akibat wabak itu.

Beliau turut menyeru orang ramai yang berada dalam kumpulan berisiko agar mendapatkan suntikan vaksin yang disediakan di klinik kerajaan dan swasta.

"Sambutan sekarang baik tapi kita juga menyeru orang ramai kalau boleh dapatkan juga vaksin daripada klinik swasta kerana klinik kerajaan menumpukan terhadap kumpulan berisiko tinggi," katanya.

Terdahulu dalam ucapannya, Liow berkata kesihatan oral pada kalangan rakyat Malaysia bertambah baik sekarang berbanding ketika sebelum kemerdekaan.

"Hari ini lebih daripada 40 peratus pelajar sekolah yang berusia 16 tahun tidak pernah mengalami masalah gigi pada gigi kekal mereka berbanding hanya 15 peratus pada tahun 1970an," katanya.

Beliau juga berharap agar pakar-pakar pergigian di negara ini dapat bekerjasama dengan kerajaan untuk membangkitkan kesedaran pada kalangan masyarakat agar menjaga kesihatan oral mereka. -BERNAMA

Artikel Berikut

18 Kes Baru H1N1

Artikel Lain