suria

60,000 Peruncit Jamin Tidak Boikot Jual Tiga Barang Kawalan

KUALA LUMPUR: Kira-kira 60,000 daripada 80,000 peruncit di seluruh negara memberi jaminan tidak akan terlibat dengan boikot oleh Persekutuan Persatuan Peniaga Barang Runcit Malaysia yang mahu menghentikan penjualan tiga barang kawalan bermula Selasa ini.

Perkara itu dinyatakan Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Mohd Zain Mohd Dom yang turut berkata, kerajaan akan menggunakan saluran lain untuk membekalkan gula, tepung gandum dan minyak masak kepada pengguna.

"Kita ada pasar raya besar untuk menampung keperluan di bandar-bandar. Kita juga ada stesen minyak dan pasar tani yang sedia menjual gula.

"Bekalan gula ke tempat-tempat ini juga akan ditambah bagi memenuhi keperluan," katanya kepada pemberita selepas menghadiri jamuan mesra Menteri berkenaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bersama Editor-editor media, di sini semalam.

Beliau diminta mengulas mengenai kenyataan Persekutuan Peniaga Barang Runcit Malaysia yang mahu memboikot penjualan tiga bahan keperluan itu bermula 15 Jun ini sekiranya kerajaan tetap menguatkuasakan lesen runcit untuk barang-barang kawalan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.

Mohd Zain berkata, tindakan persekutuan itu juga tidak akan mengubah keputusan kerajaan untuk mewajibkan semua peniaga menjual barangan kawalan secara runcit mempunyai lesen berkuat kuasa 1 Julai ini.

"Kita sudah melayan segala permintaan mereka, tetapi jika mereka tetap nak teruskan boikot, itu terpulang kepada mereka. Tetapi saya minta sekali lagi untuk mereka menimbangkan semula keputusan itu," katanya.

Beliau berkata, persekutuan itu juga tidak memaklumkan mengenai rancangan boikot tersebut ketika mengadakan pertemuan dengannya pada Jumaat lepas, sebaliknya mengetahui perkara tersebut menerusi media.

Kementerian itu sebelum ini telah membatalkan cadangan untuk mengenakan bayaran RM10 bagi lesen tersebut sebagai memenuhi permintaan persekutuan berkenaan.

Mengulas perkara berkaitan, Mohd Zain berkata, pengilang gula yang diarah meningkatkan pengeluaran gula sebanyak lima peratus juga telah menyatakan persetujuan untuk berbuat demikian bermula hari ini. -BERNAMA

Artikel Berikut

18 Kes Baru H1N1

Artikel Lain