Kepincangan Dalam Masyarakat Kita... - Semasa | mStar

Kepincangan Dalam Masyarakat Kita...

SEORANG bapa telah membuat laporan polis akan kehilangan dua orang anak lelakinya dan 16 hari kemudian mendapati, mereka sebenarnya berada dalam jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Tetapi itu bukanlah ceritanya. Cerita yang sebenarnya ialah, pihak polis kini sedang menimbang untuk mengambil tindakan ke atas keluarga kanak-kanak itu di bawah Akta Kanak-Kanak 2001 kerana gagal atau cuai dalam menjaga anak di bawah peliharaan mereka sehingga kedua-duanya hilang. Mereka berusia tujuh dan lapan tahun.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Polis Kuala Lumpur, Penolong Pesuruhjaya Kanan Datuk Ku Chin Wah ketika mendedahkan kejadian ini berkata, pada 15 Mei lalu, seorang lelaki berusia 45 tahun telah membuat laporan polis mendakwa dua orang anaknya tidak pulang ke rumah sejak 12 Mei.

Tetapi menurut Ku, apa yang mencurigakan pihak polis ialah, ketika dia membuat laporan kehilangan anak-anaknya itu, lelaki berkenaan bukan sahaja langsung tidak memperlihatkan riak wajah yang gusar malah kelihatan seperti tidak ada apa-apa yang berlaku.

Pun begitu, pihak polis melancarkan gerakan mencari termasuklah mendapatkan bantuan daripada penduduk di sekitar Chow Kit di mana dua kanak-kanak ini hilang. Dan selepas usaha mencari menemui jalan buntu, pada 27 Mei, polis menghubungi Jabatan Kebajikan Masyarakat untuk memaklumkan tentang kehilangan dua kanak-kanak itu dengan harapan akan ada pihak yang menghubungi jabatan berkenaan jika terjumpa mereka.

Menurut Ku, polis terkejut apabila mendapati, dua kanak-kanak tersebut sebenarnya berada dalam jagaan jabatan berkenaan. Siasatan lanjut mendapati, keluarga kanak-kanak itu berasal dari Terengganu dan baru berhijrah ke Kuala Lumpur pada awal bulan Mei untuk mencari kehidupan yang lebih baik.

Mereka duduk menumpang berdekatan dengan Hospital Kuala Lumpur dan oleh kerana sibuk mencari kerja, mereka tidak memperdulikan pergerakan anak mereka.

Ini mendorong pihak polis untuk menjalankan siasatan lanjutan dan akhirnya apa yang mereka dapati ialah sesuatu yang lebih mengejutkan. Pasangan ibu-bapa kepada kedua-dua anak ini sebenarnya tidak pernah berkahwin dan kelahiran anak sulung mereka tidak pernah didaftarkan.

“Kami dapati, sepanjang berada di ibu kota, budak-budak ini merayau di sekitar Chow Kit bersendirian sambil meminta sedekah dan makanan. Selepas memperolehi wang, mereka akan menghabiskannya di pusat-pusat hiburan bermain game,” kata Ku.

Hasil siasatan polis juga mendapati, seorang warga yang perihatin telah memberi makan kepada dua kanak-kanak ini setiap hari sehinggalah dia terpaksa ke luar kawasan dan apabila kembali dia tidak bertemu lagi dengan mereka.

Yang lebih menyedihkan ialah, kata Ku, kakitangan Jabatan Kebajikan Masyarakat telah menemui kedua-dua beradik ini berpelukan kesejukan di bawah jejantas LRT Titiwangsa pada 13 Mei lalu dan sejak itu mereka berada di bawah jagaan jabatan itu di Rumah Kanak-kanak Tengku Budriah Cheras.

Pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat juga kini turut bercadang memulakan tindakan undang-undang untuk mengambil hak penjagaan kanak-kanak ini daripada keluarga mereka.

Polis juga berkata, ibu-bapa kedua-dua kanak-kanak ini turut mendakwa mereka pernah kehilangan seorang lagi anak di Terengganu pada tahun 2003 tetapi tidak pasti sejauh manakah kebenaran cerita itu kerana ia didakwa berlaku tujuh tahun yang lalu.

Alahai... apa yang berlaku ke atas dua orang kanak-kanak itu mencerminkan kepincangan yang wujud dalam masyarakat kita. Mungkin tanpa kita sedari dan mungkin juga kita sedari tetapi tidak berupaya untuk mengubah nasib dan keadaan kerana kita juga dibelenggu dengan seribu satu macam hal, perkara dan masalah saban hari.

Minta Sedekah Kerana Miskin ke Atau Kerana Satu Kerjaya?

DAN itulah juga yang berjaya dibongkarkan oleh wartawan Mingguan mStar, Izra Abd Rahman dalam laporan penyiasatannya tentang bagaimana sekumpulan kanak-kanak Myanmar berjaya mengutip antara RM500 hingga RM800 sehari di sekitar Seksyen 7, Shah Alam dan kemudian pergi enjoy hasil kutipan itu dengan bermain game sepuas-puasnya di kafe siber yang berhampiran.

Bunyinya sama dengan apa yang dilakukan oleh dua orang kanak-kanak Terengganu yang hilang itu tetapi bezanya cuma satu. Mereka ini telah menjadikannya satu kerjaya sedangkan kanak-kanak Terengganu itu terdesak dan cuba menghiburkan diri kerana tiada tempat tinggal yang sempurna.

Kita memberi kerana kesian. Sang penerima menjadikan ia satu kerjaya tetap. Sebenarnya masyarakat kita mempunyai dua wajah. Di sebalik sikap tidak mahu ambil peduli apa yang berlaku di hadapan mereka, pada masa yang sama mereka seolah-olah menyokong pekerjaan minta sedekah ini dengan memberi wang kerana kesian. Itulah dia.

Dan ini semua menjurus ke arah dorongan untuk melahirkan lebih ramai peminta sedekah. Seorang pelancong pernah memberitahu penulis, mereka mengelak untuk melawat New Delhi dan Bangkok kerana dimaklumkan oleh rakan mereka yang kedua-dua bandar raya ini adalah bandar raya peminta sedekah.

Adakah kita mahu Kuala Lumpur, Petaling Jaya dan Shah Alam menjadi sebahagian daripada imej ini? Jawapannya semakin terang. Tidak lama dahulu, penulis telah singah makan tengah hari di sebuah gerai dekat Pasar Taman Tun Dr Ismail dan dalam tempoh setengah jam, meja tempat penulis menjamu selera telah dikunjungi oleh tidak kurang daripada lima pasangan peminta sedekah - seorang celik dan seorang buta dan sicelik membimbing sibuta dari satu meja ke satu meja untuk meminta sedekah.

Ada di antaranya memang benar-benar minta sedekah dan ada pula meminta sedekah dengan ‘menjual’ tisu. Penulis tertanya-tanya berapa banyakkah hasil kutipan seharian yang berjaya mereka perolehi.

Tidak pernah kita semua bertanya apakah ada kemungkinan hasil kutipan sedekah mereka melebihi gaji bulanan orang yang memberi?

Daripada hasil pemerhatian penulis, boleh dikatakan hampir di setiap meja orang memberi sedekah. Pertama mungkin kerana tidak mahu terus diganggu kerana sedang makan dan kedua mungkin kerana malu dan segan sebab di meja bersebelahan orang sedang menyaksikan sama ada dia akan menghulurkan sesuatu atau tidak.

Dan selang beberapa hari kemudian di hadapan pejabat penulis sendiri, pasangan sicelik dan sibuta datang silih berganti untuk meminta sedekah atau perlu penulis katakan meminta derma di dalam restoran pada masa orang-ramai berduyun-duyun turun makan tengah hari.

Ada orang kata, pada setiap harta kekayaan seorang manusia, simiskin ada hak ke atasnya. Tetapi dalam konteks peminta sedekah/derma ini, penulis ingin bertanya apakah mereka juga jatuh di dalam kategori miskin atau mereka sebenarnya berkerjaya - iaitu kerja sebagai peminta sedekah.

Artikel Berkaitan

Klik

default image

Perahu naga bakal 'membelah' Tasik Putrajaya, 90 pasukan korporat berentap rebut gelaran juara!

SEMUA peserta nampaknya tidak sabar untuk menyahut cabaran bagi merebut gelaran juara perlumbaan perahu naga di Tasik Putrajaya.

default image

Ketahui 8 petunjuk bagi memantau manfaat WKB 2030 dikongsi rakyat

INDIKASI sosial sedang dibina bagi memastikan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB 2030) memenuhi sasaran dan memberi manfaat kepada semua.

default image

Cekap tangani isu sekolah daif, Kementerian Pendidikan sasar selesai tiga tahun lagi

KEMENTERIAN Pendidikan sedang bekerja keras dalam usaha membaiki dan membina semula sekolah yang dalam keadaan daif di seluruh negara.

default image

Pelan Pembangunan KL... inilah harapan warga kota

INFRASTRUKTUR dan pengurusan bandar yang lebih baik merupakan perkara teratas dalam senarai Pelan Struktur Kuala Lumpur 2040 (PSKL) yang ingini penduduk Kuala Lumpur.

default image

CPA Australia platform berkualiti, pantas capai kelayakan perakaunan diiktiraf global

JIKA anda mempunyai kelayakan yang sewajarnya dalam industri perakaunan, perbankan dan kewangan, ia boleh memberikan prospek kerja dan kepelbagaian projek kepada anda.

Artikel Lain