suria

10,000 Penyokong Hadiri Perhimpunan GAS?

SERI KEMBANGAN: Bekas Timbalan Ketua Pemuda MIC, V. Mugilan mendakwa kira-kira 10,000 penyokong menghadiri Perhimpunan Gerakan Anti Samy Vellu (GAS) di Pusat Pameran dan Konvensyen Antarabangsa (MIECC) di sini hari ini walaupun hakikatnya dewan di mana perhimpunan itu berlangsung hanya mampu memuatkan 5,000 orang sahaja.

Beliau menyifatkan perhimpunan hari ini sebagai berjaya walaupun hanya kira-kria 10,000 penyokong yang hadir seperti yang didakwa, namun jumlah sebenarnya melebihi sasaran awal 15,000 orang iaitu 20,000 orang.

"Saya yakin dengan jumlah ini (20,000 orang) kerana sebenarnya lebih ramai yang tidak hadir ekoran disabotaj untuk datang ke sini (perhimpunan).

"Yang hadir semuanya dengan semangat berkobar-kobar dan itu menunjukkan rakyat didahulukan dan pencapaian diutamakan," ujarnya.

5:00 petang: Mugilan berkata satu kempen mengumpul 500,000 tanda tangan akan dilancarkan untuk mendesak Samy Vellu meletakkan jawatan.

5:00 petang: Mugilan mendakwa pihak tertentu membelanjakan RM5 juta untuk menahan bas-bas yang membawa penyokong GAS dari Pulau Pinang, Pahang, Kedah dan Johor.

Dia juga mendakwa seorang penganjur GAS telah "menghilangkan diri".

Mugilan berkata, sistem pemilihan dual MIC cenderung untuk disalahgunakan. Mengikut sistem itu, sistem pemilihan parti Presiden diadakan tiga bulan lebih awal sebelum pemilihan pemegang jawatan yang lain.

Dia mendakwa ini telah memberikan platform kepada Samy untuk mempengaruhi para perwakilan mengundi ahli-ahli pasukannya.

4.48 petang: Mugilan bersumpah dengan Thirukural bahawa GAS tidak didalangi oleh Umno.

Thirukural ialah sebuah buku lama yang menyentuh tentang kod perlakuan dan ditulis oleh pendeta Tamil bernama Thiruvalluvar.

4.40 petang: Kumaraa Amaan dalam ucapannya mendakwa Samy telah "meretakkan" komuniti India.

Dia turut mendakwa Samy berkata bahawa AIMST ialah aset peribadinya.

4.25 petang: K.P. Samy berucap dan menggesa pucuk pimpinan negara supaya berhenti melindungi Samy Vellu.

Dia juga mendakwa Laporan Bendahari parti menyatakan MIC hanya mempunyai 410,000 ahli dan bukannya 600,000 seperti didakwa oleh Samy Vellu.

4.15 petang: Usahawan OMS Thiagarajan naik ke pentas.

4.05 petang: Pembahas motivasi, Rohan Rajan dalam ucapannya berkata, komuniti India tidak akan maju melainkan Samy Vellu berundur serta-merta.

Dia mendakwa Samy ialah batu penghalang terbesar kepada komuniti tersebut.

3.40 petang: Barath Maniam berucap. Dia mendakwa Samy Vellu telah mendapatkan bantuannya pada 1992 apabila polis dan pegawai Badan Pencegah Rasuah menyerbu pejabatnya untuk menyiasat dakwaan rasuah melibatkan 10 juta saham Telekom yang diperuntukkan kepada MIC.

Dia mendakwa MIC hanya menerima satu juta saham. Dia turut menunjukkan sesalinan dokumen yang ditandatangani bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad bagi mengesahkan Institut Pembangunan Pendidikan Maju (MIED) dibentuk untuk komuniti India. Dia berkata bahawa dia memiliki dokumen asal.

3.20 petang: Bekas Ketua Pemuda MIC, Datuk V.L. Kanthan naik ke atas pentas. Kanthan yang juga adik kepada bekas Presiden parti, V. Manickavasagam menafikan abangnya, Manickavasagam memberikan tekanan kepada Tun V.T. Sambanthan untuk meletakkan jawatan.

3:00 petang: Acara bermula dengan nyanyian lagu kebangsaan. Bekas Naib Presiden MIC, Datuk V. Govindarajoo membuat ucapan awal. Antara lain, dia mengutuk Samy kerana menipu tentang tarikh lahirnya.

Dia menunjukkan satu salinan kad pengenalan Samy Vellu yang menyatakan dia dilahirkan pada 20 Jun 1937 dan bukannya 8 Mac seperti yang didakwa Presiden parti itu.

Perhimpunan itu yang dijadualkan berlangsung pada pukul 2 petang ditunda ke pukul 3 petang.

Ia berikutan pertukaran lokasi sebelum ini di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) telah menyukarkan penyokong untuk menghadiri ke perhimpunan GAS.

Artikel Lain