suria

10,496 Karton Ketulan Ayam Tanpa Sijil Halal Dirampas Di Labuan

LABUAN: Jabatan Perkhidmatan Veterinar dan Jabatan Kastam Diraja Labuan menggagalkan cubaan membawa masuk sejumlah 10,496 karton ketulan ayam beku ke pulau ini tanpa sijil halal.

Ini merupakan kali pertama ketulan ayam beku cuba dibawa masuk ke sini di mana ketulan ayam itu yang diimport dari Amerika Syarikat dan Denmark, tidak memperoleh kelulusan daripada Jabatan Perkhidmatan Veterinar.

"Kami telah menahan enam kontena yang mengandungi pelbagai jenis ketulan ayam yang dibawa dari kilang pemprosesan yang tidak mendapat kelulusan di kedua-dua negara berkenaan.

"Kami sedang berusaha mendapatkan perintah mahakamah untuk memusnahkan kesemua ayam itu demi kepentingan kesihatan orang ramai," kata Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar Labuan Dr Mohd Hishamfariz Mohd Amin kepada Bernama hari ini.

Dr Mohd Hishamfariz berkata, pengimportan daging ayam atau lembu tanpa permit adalah satu kesalahan dan pesalah boleh dikenakan denda sehingga RM5,000 atau penjara dua tahun atau kedua-duanya.

Beliau berkata, kesemua ketulan ayam itu yang disimpan dalam enam kontena di sebuah gudang di Patau-Patau, ketika ini dikuarantin kerana disyaki melanggari keperluan kesihatan.

"Kesemua kontena itu dibawa dengan kapal menerusi pelabuhan Singapura sebelum diserbu oleh kastam di pelabuhan Labuan pada 31 Mac, dan kes itu diserahkan kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar pada 2 April," katanya.

Dalam perkembangan berasingan, Dr Mohd Hishamfariz berkata, mulai Jun tahun ini, jabatannya akan mewajibkan pengimport dan pengeksport di pulau ini supaya menggunakan sistem permohonan permit dalam talian iaitu e-permit, sejajar dengan matlamat kerajaan untuk mengamalkan transaksi tanpa kertas.

Sejumlah 86 pengeksport dan pengimport pada masa ini mengamalkan permohonan permit secara manual.

"Mereka akan menjalani latihan sehari dengan sebuah syarikat perunding yang dilantik oleh kerajaan, e-dagang Technologies," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain