suria

16 Mangsa Pemerdagangan Manusia Lari Dari Depoh Tahanan

SEPANG: Seramai 16 rakyat asing mangsa pemerdagangan manusia yang diberi pelindungan di Depoh Tahanan Imigresen Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) melarikan diri awal pagi semalam.

Kejadian antara pukul 5 pagi dan 7 pagi itu membabitkan 12 rakyat rakyat Afghanistan dan empat rakyat Myanmar yang kesemuanya lelaki dan berumur antara 22 hingga 48 tahun.

Bercakap pada sidang akhbar di Depoh Tahanan Imigresen KLIA hari ini, Ketua Pengarah Imigresen Datuk Abdul Rahman Othman berkata pihaknya menyedari kehilangan mereka pada kira-kira pukul 7 pagi.

Rakyat Afghanistan itu ialah Mohd Ali Sultan, Mohd Ayub Mohd Ali, Syaigul Sayfali, Ahmad Janali, Hussaini Ali Sultan, Mohd Amin Sultan, Mohd Reza Hussain, Ghulan Haidar Yusof Ali, Ghulam Sulkhi M Anuwar, Mohd Ali Gambarli, Rohulloh Yusof dan Gambarli Jumali.

Beliau berkata mereka adalah antara 18 rakyat Afghanistan yang diselamatkan pihak berkuasa di Tanjung Karang, Selangor, selepas cuba diseludup keluar dipercayai untuk ke Australia, Oktober tahun lepas.

Rakyat Myanmar yang melarikan diri pula hanya dikenali sebagai Ko Kyaw, Tho, Ata dan Epo.

Beliau berkata pihaknya telah membuat laporan polis dan melancarkan gerakan mencari tetapi setakat ini tiada maklumat tentang mereka diperoleh.

"Kami menyeru orang ramai membantu kami memberi maklumat mengenai 16 individu ini dan kami juga mengesyaki mereka mungkin dilindungi," katanya.

Abdul Rahman memberi amaran kepada orang ramai yang memberi pelindungan kepada mereka boleh didakwa dan jika didapati bersalah boleh dipenjara 15 tahun dan didenda tidak kurang RM50,000 mengikut Seksyen 15, Akta Anti Pemerdagangan Orang 2007.

Difahamkan, terdapat kira-kira 100 mangsa pemerdagangan manusia rakyat asing diberi pelindungan di depoh berkenaan dan ditempatkan berasingan dengan tahanan pendatang asing tanpa izin.

Beliau berkata satu jawatankuasa siasatan dalaman ditubuhkan bagi menyiasat kes itu dan tindakan sewajarnya akan diambil jika terdapat bukti ia disebabkan kecuaian petugasnya.

Mereka yang mempunyai maklumat mengenai 16 lelaki yang melarikan diri itu boleh menghubungi Pengarah Imigresen Selangor Johari Yusof di talian 019-2649061 atau Timbalan Penolong Pengarah Imigresen Zainol Azalan Daud di talian 013-9811767. - BERNAMA

Artikel Lain