suria

Malek Noor Kini Bergelar Datuk

PEKAN: Bekas juara bina badan Asia, Malek Noor hari ini dianugerahkan Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) membawa gelaran "Datuk" sempena ulang tahun hari keputeraan ke-79 Sultan Pahang Sultan Ahmad Shah pada 24 Oktober lepas.

Malek atau nama sebenarnya Abdul Malek Mohd Noor merupakan antara 57 penerima DIMP dalam istiadat disempurnakan oleh Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah di Balairung Seri Istana Abu Bakar di sini.

Malek yang juga merupakan Ahli Lembaga Pengarah Koperasi Atlet Malaysia Berhad mengucapkan rasa syukur kerana pembabitannya dalam bidang sukan menerima penghargaan Sultan Ahmad Shah.

"Semoga penghargaan ini menjadi pendorong kepada generasi muda yang berkecimpung dalam bidang sukan, namun perlu diingat supaya jangan terlalu berharap untuk menerima gelaran, sebaliknya perlu melakukannya dengan bersungguh-sungguh," katanya yang berkecimpung selama 25 tahun dalam bidang bina badan.

Penerima DIMP lain termasuk Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Seremban, Ahmad Nasfy Yasin; Ketua Pengarah Kumpulan Utusan Melayu (Malaysia) Berhad, Datuk Abdul Aziz Ishak; Pengarah Perikanan Pahang, Mohamad Mat Saman; Pengasas dan Pengarah Urusan Yusmira Trading Sdn Bhd, Datin Yusmira Mohd Yusof dan Pesara Askar Orang Asli, Mohd Nor Abdullah.

Sementara itu, ratu rock negara, Ella atau Nor Zila Aminuddin, 43, dan vokalis utama kumpulan Spring, Ameng atau Wan Aminuddin Wan Ismail pula merupakan antara 14 penerima Darjah Setia Mahkota Pahang (SMP).

Ella berkata, beliau bersyukur dengan penghargaan itu kerana penyanyi rock akhirnya mula dihargai masyarakat dan keadaan ini berbeza berbanding waktu beliau mula-mula menceburi industri hiburan tanah air.

Pada istiadat itu juga, sembilan orang menerima darjah Ahli Ahmad Shah Pahang (AAP), 25 menerima darjah Ahli Mahkota Pahang (AMP), 10 orang masing-masing menerima Pingat Khidmat Cemerlang (PKC) dan Pingat Kelakuan Terpuji (PKT) serta 34 menerima Pingat Jasa Kebaktian (PJK). - BERNAMA

Artikel Lain