suria

ANALISIS BERITA MCA: BOLEHKAH KIAMBANG BERTAUT SEMULA...

KUALA LUMPUR: Selepas mengalami pergolakan selama 18 bulan di bawah kepimpinan Datuk Seri Ong Tee Keat yang akhirnya bertukar menjadi krisis, kepimpinan baru di bawah Datuk Seri Dr Chua Soi Lek kini mengambil alih pentadbiran parti selepas pemilihan Ahad lalu.

Berikutan mandat yang diberikan perwakilan untuk memimpin parti, persoalan seterusnya ialah sama ada kepimpinan baru ini mampu menyelesaikan semua kemelut itu dan sama ada anggota parti akan berdamai dan bersatu selepas sekian lama berkrisis.

Dr Chua menewaskan penyandang jawatan dan Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Ong Tee Keat dengan kelebihan 323 undi dan bekas presiden Tan Sri Ong Ka Ting, yang cuba membuat kemunculan semula tetapi ditewaskan dengan hanya 68 undi.

Anggota dan perwakilan pusat parti telah menyuarakan harapan agar pemilihan baru itu akan menamatkan krisis parti dan semua mata kini tertumpu kepada Dr Chua iaitu sama ada beliau mampu melakukan semua itu selepas menang dengan hanya 38 peratus undi berbanding dengan 62 peratus yang tidak menyokongnya.

"Ini bukan tugas mudah tetapi untuk berlaku adil kepada Dr Chua, ini membabitkan pertandingan tiga penjuru dengan semua calon mempunyai peluang untuk melakukan kejutan dalam pemilihan ini," menurut orang dalaman parti.

Dr Chua juga perlu bekerjasama dengan timbalannya yang baru dipilih, Datuk Seri Liow Tiong Lai, yang secara terbuka menyokong Ka Ting, dan gabungan naib presiden dan jawatankuasa pusat (CC) yang mewakili semua kumpulan.

Hanya dua daripada empat naib presiden iaitu Datuk Seri Dr Ng Yen Yen dan Datuk Donald Lim Siang Chai menyokong Dr Chua, manakala Datuk Chor Chee Heung dikatakan orang Ka Ting dan Gan Peng Sieu pula orang Tee Keat.

Bagi CC, ia menggabungkan ketiga-tiga kumpulan, dengan sekurang-kurangya 12 daripada mereka dikatakan menyokong Ka Ting, lapan menyokong Dr Chua manakala lima lagi orang Tee Keat. Antara yang dipilih semula ialah adik Ka Ting, Ka Chuan, yang tewas kepada Dr Chua bagi jawatan timbalan presiden pada pemilihan parti 2008.

Bukan itu sahaja, kesemua tiga lagi pemegang jawatan parti sekarang iaitu Datuk Wong Foon Meng (setiausaha agung), Tan Sri Tee Hock Seng (bendahari agung) dan Simon Lim (setiausaha penganjur) dilantik oleh Tee Keat.

Selain itu, Dr Chua juga perlu berdepan dengan Ketua Wanita Datin Paduka Chew Mei Fun, penyokong kuat Ka Ting manakala Ketua Pemuda Datuk Dr Wee Ka Siong dilihat bersikap terbuka terhadap Dr Chua walaupun pada asasnya beliau adalah orang Liow.

Bagaimanapun, anggota CC Datuk Chong Itt Chew, sekutu Dr Chua, yakin Dr Chua mampu menyatukan parti "selagi presiden cukup sensitif untuk mengendalikan situasi dalam parti".

"Beliau perlu adil kepada setiap orang. Pastikan parti mempunyai hala tuju. Terdapat juga keperluan bagi parti meningkatkan disiplin. Anda tidak boleh sesuka hati "ketuk" sana sini," katanya.

Peng Sieu pula berkata, kepimpinan baru tidak mempunyai banyak pilihan selain bekerjasama sebagai satu pasukan tanpa mengira mereka dari kumpulan yang mana.

"Perwakilan pusat telah menolak "cai tan". Mereka memilih pasukan baru yang terdiri daripada pemimpin dari semua kumpulan dan menghantar isyarat yang jelas iaitu mereka perlu bekerjasama.

"Para perwakilan boleh sahaja mengundi mengikut senarai, jika mereka mahu pasukan mereka dipilih, tetapi keputusannya jelas menunjukkan yang mereka tidak mahu berbuat begitu. Sebaliknya mereka memilih pemimpin dari kesemua kem yang berlainan," kata naib presiden yang baru dipilih itu.

Liow pula berkata apa yang parti amat perlukan sekarang ialah untuk terus bergerak dan memulihkan kredibilitinya berikutan para perwakilan telah membuat keputusan.

"Perlu ingat bahawa para perwakilan telah mengundi kami untuk menyelamatkan parti. Kami patut memenuhi aspirasi ini. Sepatutnya tidak wujud lagi pertelingkahan tetapi merapatkan barisan dan bersatu kembali," kata Timbalan Presiden yang baru dipilih itu kepada Bernama hari ini.

Ujian getir pertama bagi barisan kepimpinan baru ialah pilihan raya kecil Parlimen Hulu Selangor akan datang di mana 26 peratus daripada 60,000 pemilih berdaftar di kawasan itu ialah kaum Cina.

Artikel Lain