500 Ditangakap Kes Rasuah Tahun Lepas

KUANTAN: Seramai 500 orang, 38.2 peratus daripadanya penjawat awam, ditangkap tahun lepas berhubung pelbagai kes rasuah.

Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan dan Profesionalisme) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Zakaria Jaafar berkata, daripada 191 penjawat awam yang diberkas, dua adalah daripada kumpulan pengurusan tertinggi dan 29 daripada kumpulan profesional.

Selain itu, beliau berkata, 107 tangkapan melibatkan orang awam, 180 daripada swasta dan 22 ahli politik.

"Daripada 176 orang yang dihadapkan ke mahkamah, 89 terdiri penjawat awam, 46 orang awam, 27 daripada sektor swasta dan 14 ahli politik," katanya kepada pemberita selepas menyaksikan majlis serah tugas dan perpisahan Pengarah SPRM Pahang di sini hari ini.

Datuk Sutinah Sutan yang sebelum ini memegang jawatan tersebut dinaikkan pangkat sebagai Timbalan Ketua Pengarah (Pencegahan) SPRM manakala tempatnya diganti oleh Pengarah SPRM Selangor, Moh Samsudin Yusoff.

Moh Samsudin, 52, yang juga bekas pensyarah Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia berkata, bagi enam bulan pertama perkhidmatannya di Pahang, beliau akan memberi penekanan terhadap aspek pencegahan rasuah melalui kempen melibatkan penjawat awam selain menumpukan kepada agensi seperti Risda, Felcra dan Felda. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain