suria

3 Anggota Geng Gondol Mati Ditembak Di Ijok

KUALA SELANGOR: Polis awal pagi tadi menembak mati tiga anggota termasuk percancang utama kumpulan Geng Gondol iaitu kumpulan pecah rumah dan samun yang sangat dikehendaki selama ini.

Kejadian tersebut berlaku kira-kira 3.30 pagi di kawasan kolam tadahan air hujan di Tasik Kota Puteri, Ijok dekat sini. Menurut Ketua Polis Selangor Datuk Khalid Abu Bakar, kumpulan terbabit menjadi buruan polis sejak sebulan lalu.

Anggota kumpulan itu turut terbabit dalam dua kes samun di tiga buah rumah di Kuang dua hari lepas.

"Kumpulan ini bergiat aktif sejak November tahun lepas dengan melakukan jenayah samun dan pecah rumah pada awal pagi dengan menggunakan senjata api buatan sendiri dan senjata tajam.

"Modus operandi mereka ialah dengan mengumpil pintu gril dan memecahkan pintu rumah sebelum memasuki rumah mangsa. Mereka turut mengikat dan mencederakan mangsa," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Khalid berkata pada mulanya sepasukan anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor telah bertembung dengan sebuah Proton Waja yang dinaiki tiga penjenayah berkenaan, di Jalan Kundang menghala ke Kuala Selangor.

Anggota polis telah mengejar kenderaan tersebut sejauh hampir lima kilometer, sebelum kenderaan itu terbabas dan melanggar sebatang pokok.

Namun ketiga-tiga suspek bertindak nekad keluar dari kenderaan mereka lalu menyerang anggota polis, katanya.

"Anggota polis terpaksa melepaskan enam das tembakan bagi mempertahankan diri setelah mereka bertindak agresif dan enggan menyerah diri," kata Abdul Khalid.

Beliau berkata kesemua yang ditembak berusia antara 26 tahun dan 32 tahun serta tidak mempunyai dokumen pengenalan diri.

Beliau berkata polis turut menemui sepucuk senapang buatan sendiri, dua bilah parang, kuku kambing, satu komputer riba, peralatan untuk pecah rumah dan topeng dari kenderaan suspek.

Kereta Proton Waja yang dinaiki penjenayah tersebut didapati dicuri di Cheras bulan lepas.

"Dengan tumpasnya tiga anggota geng ini, kita percaya 19 kes samun bersenjata di sekitar Lembah Klang dapat diselesaikan," katanya.

Namun Abdul Khalid berkata, gerakan memburu saki baki anggota kumpulan itu akan diteruskan dan tangkapan dijangka dibuat tidak lama lagi. - BERNAMA

Artikel Lain