suria

Mahkamah Tolak Pengakuan Salah Rasidi Bunuh Empat Anggota Keluarganya

SEREMBAN: Penganggur Rasidi Ismail hari membuat pengakuan bersalah di Mahkamah Tinggi Seremban terhadap tuduhan membunuh empat anggota keluargannya pada 5 Jan lepas tetapi hakim menolak pengakuan itu kerana mahu memberinya peluang melantik peguam.

"Kamu menghadapi empat tuduhan bunuh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman gantung sampai mati. Mahkamah perlu berhati-hati untuk menerima pengakuan kamu ini," kata Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Ahmad Nasfy Yasin.

Beliau kemudiannya menetapkan 22 Mac untuk sebutan semula kes itu dan bagi Rasidi melantik peguam.

"Mahkamah akan melantik peguam untuk beri nasihat dan melihat sama ada, ada keperluan atau tidak untuk pemeriksaan mental," katanya.

Rasidi, 32, yang kelihatan tenang, sebelum itu mengaku bersalah apabila pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah. Dia juga mengangguk tanda faham tentang hukuman yang akan diterima akibat daripada pengakuannya itu.

Bagi pertuduhan pertama, dia didakwa membunuh adik perempuannya Siti Khadijah, 22, di rumah bernombor 119, Kampung Batang Rokan, Gemencheh pada 5 Jan antara 7 dan 11 pagi.

Dia menghadapi tuduhan kedua, ketiga dan keempat iaitu membunuh ayahnya, Ismail Awang, 76, neneknya, Sufiah Katas, 80, dan datuknya, Atan Daud, 87, di rumah tidak bernombor juga di Kampung Batang Rokan pada tarikh dan waktu yang sama.

Pertuduhan adalah mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman gantung sampai mati.

Timbalan Pendakwa Raya, Wan Shaharuddin Wan Ladin, sebelum itu berkata berkata tiada apa halangan untuk tertuduh mengaku bersalah, namun Perkara 5 (3) Perlembagaan Persekutuan menyebut tertuduh berhak untuk mendapatkan nasihat dan diwakili peguam.

"Dalam perkara ini tertuduh harus diberi peluang untuk mendapatkan nasihat peguam memandangkan kes ini berat dan oleh itu saya cadangkan beliau mendapat khidmat peguam," katanya.

Emak Rasidi, Saharah Atan, 59, yang ditemui di luar mahkamah, berkata beliau akan mendapatkan khidmat peguam dari Biro Bantuan Guaman untuk membantu Rasidi dalam kes itu.

"Saya minta mahkamah cepatkan proses bicara dan saya berdoa semoga semuanya selamat," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain