suria

Tiga Warga Thai Didakwa Perdagang Bom Dan Miliki Peluru

PASIR MAS: Tiga lelaki warga Thailand, yang pernah dikaitkan dengan rangkaian pengganas di Selatan Thailand, didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas dua tuduhan memperdagangkan empat biji bom buatan sendiri serta memiliki lebih 250 butir peluru.

Kesemua tertuduh Mohamad Khairi Seman, 27, Mat Yunai Che Dolah, 32, dan Mohd. Sidek Ali, 37, mengaku tidak bersalah melakukan kesalahan tersebut di sebuah rumah nombor 17, Kampung Gebeng, Bakong di sini kira-kira pukul 1.40 petang, 14 Disember lepas.

Bagi tuduhan pertama, kesemua tertuduh yang berasal dari Selatan Thailand didakwa telah berdagang senjata api iaitu empat biji bom rekaan sendiri.

Mereka dituduh secara bersama mengikut Seksyen 7(1) Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 dan dibacakan bersama di bawah Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup dan sebatan tidak kurang enam kali, jika sabit kesalahan.

Bagi tuduhan kedua mereka dengan niat bersama dituduh memiliki 48 butir peluru, .32 dan 210 butir peluru .38 tanpa lesen atau permit mengikut seksyen 4 Akta Senjata 1960.

Sabit kesalahan, mereka boleh dihukum di bawah Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda tidak lebih RM10,000 atau kedua-duanya.

Majistret Hazwani Husein Bustari menetapkan 11 April depan untuk sebutan semula kes bagi mendapatkan laporan kimia, persenjataan dan pakar bom.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Wan Abdul Razak Wan Hussin ketika ditemui di luar mahkamah berkata, pihaknya akan memohon kes tersebut dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Kota Bharu selepas keputusan laporan terbabit diperoleh.

"Kesemua mereka telah ditahan di Penjara Pengkalan Chepa selepas didapati bersalah mengikut Akta Imigresen kerana bekerja tanpa permit," katanya.

Ketiga-tiga warga Thailand itu dibawa dari Penjara Pengkalan Chepa dengan kawalan ketat pihak polis dan Jabatan Penjara yang bersenjata lengkap serta kenderaan yang membawa tertuduh itu juga diiringi oleh beberapa kenderaan Unit Tindakan Khas dan Cawangan Khas Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Perkarangan mahkamah juga sesak dengan orang ramai termasuk sanak saudara tertuduh dan wartawan dari Thailand, pihak kedutaan serta anggota polis. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain