suria

30 Filem, Drama Diharam Tayang Di Malaysia Tahun Lepas

PUTRAJAYA: Sebanyak 30 filem dan drama dari luar negara telah diharam untuk ditayangkan di negara ini sepanjang tahun lepas, kerana mempunyai unsur lucah dan adegan yang terlampau ganas, kata Timbalan Ketua Setiausaha (Keselamatan) Kementerian Dalam Negeri (KDN), Datuk Ahmad Fuad Ab Aziz.

Beliau berkata, filem dan drama itu yang termasuk drama bersiri ialah dari Hollywood, Jepun, Korea Selatan, China dan India.

"Tiada filem atau drama tempatan yang diharam untuk ditayangkan di panggung wayang atau stesen-stesen televisyen di negara ini sepanjang tahun lepas. Seboleh-bolehnya, kami (Lembaga Penapis Filem) akan membantu supaya filem atau drama terbabit dapat ditayangkan.

"Tetapi ada filem atau drama yang tidak dapat dipotong (diedit) kerana mempunyai unsur lucah dan terlalu ganas," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan surat lantikan, sijil penghargaan dan sijil kualiti Bahagian Kawalan Filem di sini hari ini.

Beliau berkata, pihaknya telah menempatkan kakitangan di stesen-stesen televisyen di negara ini, bagi memastikan filem atau drama yang disiarkan telah ditapis serta tidak mempunyai unsur-unsur tidak bermoral.

Setakat ini katanya, tiada wakil daripada Lembaga Penapis Filem ditempatkan di stesen televisyen berbayar Astro kerana syarikat itu mempunyai ahli penapisan filem mereka sendiri, menerusi lesen hak eksklusif yang mereka peroleh sebelum ini.

"Bagaimanapun Astro tidak dapat lari daripada garis panduan yang telah kita tetapkan...kita sentiasa memantau filem atau drama yang mereka siarkan. Pada masa akan datang, kita mungkin akan tempatkan kakitangan kita bagi menapis filem atau drama di Astro," katanya.

Beliau berkata, sepanjang tahun lepas, sebanyak 30,000 filem dan drama dari dalam dan luar negara telah diluluskan untuk ditayangkan di negara ini.

Mengenai keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur tiga hari lepas, yang memutuskan sebagai tidak sah dan tidak munasabah, pengharaman sebuah buku terbitan Sisters in Islam (SIS) oleh Menteri Dalam Negeri sejak dua tahun lepas, Ahmad Fuad berkata perkara itu terserah kepada Menteri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein sama ada untuk merayu terhadap keputusan itu.

Sementara itu katanya, KDN memerlukan tambahan 60 hari lagi bagi mengkaji kandungan buku tulisan Barry Wain bertajuk "Malaysian Maverick: Mahathir Mohamad in Turbulent Times", sebelum membuat keputusan tentang pengedaran buku itu di Malaysia.

"Tempoh 60 hari sebelum ini telah pun tamat pada 19 Januari lepas. KDN memerlukan masa lagi bagi mengkaji daripada pelbagai aspek bagi memastikan buku ini tidak menimbulkan sebarang kemudaratan kepada keselamatan dan ketenteraman rakyat Malaysia," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

10 Pengganas Ditahan ISA

Artikel Lain