suria

Tukar Pelekat Aduan Baru LPKP 31 Januari Atau Dikenakan Tindakan

KUALA LUMPUR: Pengusaha teksi, bas, lori dan kenderaan perdagangan diberi masa sehingga akhir bulan ini untuk memaparkan nombor aduan SMS Lembaga Perlesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) yang baru bagi memudahkan orang ramai membuat aduan.

Pengerusi LPKP, Datuk Halimah Mohamed Sadique berkata, tindakan akan dikenakan terhadap pihak yang gagal berbuat demikian selepas LPKP melancarkan mySMS 15888 dan talian hotline 1-800-88-9600 pada Ogos lepas bagi menggantikan aduan SMS 39900.

"Kita mahu mereka menukarnya atas dasar tanggungjawab kepada masyarakat, bukannya kerana terpaksa mengikut peruntukan undang-undang," kata Halimah ketika dihubungi Bernama di sini baru-baru ini.

Beliau mengulas kegagalan segelintir pengusaha teksi, bas henti-henti, bas ekspress dan lori, khususnya lori kelas A dan C untuk memaparkan stiker aduan LPKP baru pada badan kenderaan terbabit.

Tinjauan di sekitar ibu negara hari ini mendapati, masih banyak kenderaan perdagangan, termasuk bas dan lori yang tidak menggunakan stiker aduan baru sekaligus membantutkan usaha kerajaan untuk menambahbaik pengangkutan awam.

Situasi ini tidak sepatutnya berlaku kerana pihak terbabit diberikan masa mencukupi iaitu melebihi empat bulan sejak nombor aduan SMS baru dilancar 18 Ogos lepas bagi menambahbaik sistem aduan sebelum itu.

Melalui sistem itu, semua aduan yang disalur kepada LPKP akan diambil tindakan segera oleh lembaga itu selain disalurkan kepada agensi berkaitan seperti Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan polis untuk tindakan selanjutnya.

Persatuan berkaitan yang dihubungi mahu pihak terbabit memberikan kerjasama.

"Saya harap semua pihak ambil perhatian perkara ini. Sistem aduan ini penting bukan saja pada penumpang tapi pada pengusaha pengangkutan awam untuk menambahbaik perkhidmatan mereka," kata Presiden Persatuan Pengusaha Teksi dan Kereta Sewa Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Selangor Datuk Aslah Abdullah.

"Ia juga penting untuk mendisiplinkan pemandu," kata Presiden Persatuan Pengusaha-Pengusaha Bas Se-Malaysia (PMBOA) Datuk Mohamad Asfar Ali sambil menggesa pengusaha lebih 3,000 bas ekspress di Semenanjung bertindak segera.

Beberapa pemandu teksi yang ditemui berkata mereka menukar stiker aduan itu ketika membuat pemeriksaan berkala di Puspakom dengan kos RM2 sekeping.

"Tidak sampai lima minit tukar stiker ini," kata pemandu teksi Jamaluddin Zulkarnai. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Zaid Pertikai Keputusan PKR

Artikel Berikut

Artikel Lain