suria

Wanita 40an Sasaran Sindiket Tipu Wang

KUALA LUMPUR: Sindiket penipuan semakin mensasarkan golongan wanita yang berumur 40 tahun dan ke atas dengan memperdaya mereka mengeluarkan wang simpanan mereka bagi tujuan upacara mengelak bala.

Kes terbaru melibatkan seorang wanita yang mahu dikenali sebagai Lee, 51, yang kerugian bernilai kira-kira RM27,000 termasuk barang kemasnya, kata pengerusi Biro Aduan dan Perkhidmatan Awam MCA, Datuk Michael Chong pada sidang media di sini hari ini.

Menurut Chong, Lee mendakwa telah dipukau oleh tiga wanita warga China yang mendakwa anak lelakinya akan ditimpa bala jika tidak melakukan upacara menolak bala di pasar Pudu pada pukul 11 pagi, Isnin lepas.

Wanita itu secara sukarela menyerahkan wang serta barang kemas dan sebagai pertukaran, beliau diberikan "batu geliga' dalam sebuah beg plastik yang didakwa boleh membantu mengelakkan malapetaka kepada keluarganya.

Selepas pulang ke rumah, Lee mendapati beg itu hanya berisi tujuh biji epal dan dua paket gula batu.

Chong berkata sejak 2004, sebanyak 13 kes sedemikian yang melibatkan golongan wanita dalam linkungan umur itu dilaporkan kepada biro beliau dan dianggarkan mereka kehilangan sejumlah lebih RM1 juta.

Sindiket itu biasanya beroperasi di stesen LRT, perhentian bas dan pasar raya.

Chong meminta bank memantau pengeluaran wang simpanan di kalangan wanita berumur 40 tahun ke atas bagi mengelakkan mereka menjadi sasaran sindiket penipuan wang oleh warga asing di sekitar ibu negara.

Beliau menasihati mereka membuka akaun bersama dengan anak perempuan mereka yang memerlukan tanda tangan kedua-dua mereka untuk pengeluaran wang.- BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain