suria

Wajah Baru Perahu Tambang Sarawak Diperkenal Julai

KUCHING: Ikon Sungai Sarawak, perahu tambang yang menjadi nadi warga bandar raya ini berulang-alik menyeberangi sungai ke pusat bandar raya, bakal berwajah baru dan beroperasi dari Pusat Konvensyen Kuching Borneo di Sejingkat ke Pasar Satok yang baru di sini mulai Julai.

Menteri Perumahan dan Pembangunan Bandar, Datuk Amar Abang Johari Tun Openg berkata, buat permulaan, tiga perahu tambang yang dilengkapi dengan peralatan keselamatan terkini akan beroperasi dengan setiap bot berupaya membawa lima, 10 dan 15 penumpang.

"Kami merancang untuk membina lapan jeti baru di sepanjang laluan ini dengan satu dijangka dibina dalam masa terdekat dan bakinya dibina dalam Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10)," katanya kepada pemberita selepas mendengar taklimat yang diberikan pegawai kanan Lembaga Sungai Sarawak (SRB) di sini hari ini.

Abang Johari berkata, idea di sebalik perahu tambang berwajah baru itu bertujuan mengatasi masalah kesesakan jalan raya di Satok, satu pusat perniagaan dan perbankan di bandar raya ini, serta menyediakan alternatif pengangkutan awam, dan sebagai satu produk pelancongan baru.

"Perahu tambang tradisional akan terus kekal beroperasi membawa penumpang berulang-alik menyeberangi sungai," katanya.

Perkhidmatan perahu tambang tradisional, yang bermula sejak era zaman kolonial, umumnya diperbuat daripada kayu dan boleh menampung kira-kira enam hingga lapan penumpang masih beroperasi di Tebingan Kuching, dengan menghubungkan kampung Melayu di seberang ke pusat beli-belah atau hotel-hotel di pusat bandar raya Kuching.

Beliau memberi jaminan operasi perahu tambang baru itu akan memberi perkhidmatan yang cekap dan pantas pada kadar tambang berpatutan.

"Kadar tambang (pengangkutan teksi air) ini belum diputuskan tetapi sebuah jawatankuasa khas telah ditubuhkan sebagai persediaan untuk pelancaran perahu tambang berwajah baru ini," katanya.

Abang Johari berkata, jawatankuasa khas itu terdiri daripada pegawai SRB, Jabatan Marin, Jawatankuasa Pelancongan Satok dan wakil-wakil jabatan serta agensi kerajaan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain