suria

APMM Patah Cubaan Seludup 2,290 Karton Rokok Keretek

KUALA LUMPUR: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) berjaya mematahkan cubaan menyeludup 2,290 karton rokok keretek ke negara ini di kawasan pantai Kelanang, Banting dekat sini pada malam Jumaat lepas.

Kejayaan itu adalah hasil maklumat Unit Risikan APMM yang memaklumkan mengenai kehadiran satu bot pancung yang mencurigakan menuju ke pantai Kelanang ketika melakukan pemantauan di perairan Morib.

Bertindak daripada maklumat itu, Ketua Penguatkuasa APMM Wilayah Selatan Laksamana Pertama Che Hassan Jusoh berkata operasi khas diadakan di perairan Morib, Selangor bagi mengesan sasaran yang dilaporkan.

"Usaha mengejar bot tersebut tidak berjaya kerana mereka meloloskan diri di celah-celah bot nelayan kecil yang pada ketika itu terdapat banyak bot jaring sedang menangkap ikan," katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

Che Hassan berkata hasil maklumat daripada pasukan khas itu, pasukan Unit Tindak Khas (UTK) telah ke satu lokasi melalui jalan darat untuk melakukan intipan. Semasa intipan dilakukan, katanya, beberapa orang dilihat sedang memunggah sesuatu dari bot ke dalam beberapa kenderaan.

Beliau berkata serbuan dilakukan kira-kira pukul 8.15 malam itu di kawasan itu bagaimanapun gagal menahan kumpulan penyeludup itu kerana mereka melarikan diri memasuki hutan berhampiran termasuk tekong bot meloloskan diri menuju ke laut.

Pemeriksaan di lokasi itu menemui enam buah kenderaan yang ditinggalkan oleh kumpulan penyeludup selain rokok keretek bernilai RM330,000 yang cuba diseludup, katanya. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain