suria

Suami Ugut Isteri Akibat Percayakan Bomoh

KUALA LUMPUR: Akibat terlalu percaya kepada tilikan bomoh, seorang suami sanggup menggugut untuk mencederakan isterinya kerana dikatakan bertanggungjawab terhadap penyakit yang dihidapi perempuan simpanannya.

Menurut Ketua Biro Pengaduan Awam MCA, Datuk Michael Chong, si isteri yang berumur 43 tahun dituduh menggunakan tangkal bagi mendatangkan penyakit terhadap perempuan simpanan suaminya.

"Suaminya, seorang peniaga, 41, telah mempercayai tilikan dua orang bomoh yang disyaki penipu dengan mengatakan bahawa perempuan simpanannya sakit teruk setelah terkena buatan isterinya.

"Berang dengan perkara itu, si suami sanggup menggugut akan mencederakan isterinya jika isterinya tidak membuang tangkal yang diletakkan di suatu tempat seperti yang dikatakan oleh bomoh dalam tilikan," katanya.

Beliau berkata, wanita itu juga seorang peniaga yang masih tinggal bersama suaminya terkejut dengan tuduhan itu dan menafikan terlibat dalam sebarang perbuatan yang membuat perempuan simpanan suaminya itu sakit.

Michael Chong berkata, lelaki itu bagaimanapun tidak percaya pada isterinya dan menguggut untuk melakukan sesuatu terhadap isterinya sekiranya tidak mengaku melakukan perkara tersebut.

Beliau berkata, beliau sendiri telah menghubungi suami wanita itu untuk mendapatkan maklum balas namun dia masih percaya tentang ramalan bomoh itu daripada pemeriksaan doktor dan menuntut agar isterinya mengaku segera atau akan dicederakan.

Menurutnya, wanita itu kemudian membuat laporan polis dan suaminya akan didakwa jika mencederakan isterinya itu.

Katanya, hingga kini terdapat lapan kes membabitkan kerugian sebanyak RM433,000 melibatkan bomoh penipu yang ada di antaranya turut memaksa pengadu melakukan seks dengan mereka.

Beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah percaya akan bomoh penipu sebaliknya mencari jalan penyelesaian yang lebih baik dalam sesuatu masalah yang dihadapi. - BERNAMA

Artikel Lain