suria

Kanak-Kanak 6 Tahun Berjaya Tarik Kereta 1,670 Kg

KLANG: T.Santhosperumal,6, kelihatan seperti kanak-kanak lain yang sebaya dengannya, tetapi dia mempunyai kekuatan luar biasa.

Dia mencatat sejarah sebagai kanak-kanak paling muda yang mampu menarik kereta jenis Mercedez Benz 240E pada jarak 120 meter semalam dan berazam menarik sebuah pesawat selepas ini.

Lebih suka dikenali dengan panggilan Santhos 10 sempena nama karakter kartun yang diminatinya iaitu Ben 10, dia berjaya menarik kereta Mercedez Benz 240E yang membawa empat penumpang dewasa sejauh 120 meter dengan menggunakan tali pinggang yang diikat pada pinggangnya.

Diiringi tepuk sorak orang ramai, Santhos dengan mudah menarik kereta tersebut di atas tarmak simen tempat kerja bapanya di Kampung Jawa, di sini.

Bapanya, N.Thiagu, 42, berkata Malaysia Book of Records (MBR) akan mencatatkan nama Santhos sebagai rakyat Malaysia paling muda yang mampu menarik sebuah kereta.

"Santhos seorang kanak-kanak yang sangat gigih. Jika dia buat keputusan mahu menarik sebuah kereta, dia akan lakukan.

"Sebenarnya, dia mula memandu sebuah kereta Kancil ketika berumur empat tahun. Sebulan kemudian, dia mula memandu forklif di kawasan tempat kerja milik kami," katanya. Thiagu menambah bahawa Santhos juga boleh memandu lori tiga tan.

"Kami mahu mencatatkan kejayaannya memandu kereta dalam MBR tetapi ditolak kerana dia masih di bawah umur.

"Namun itu tidak mematahkan semangat Santhos. Pada 5 November lalu, dia buat percubaan menarik sebuah kereta Kancil sebelum cuba menarik kereta Mercedez,'' kata Thiagu.

Ibu Santhos, M.Chelvee, 42, berkata anaknya akan melakukan senaman ringan untuk memanaskan badan termasuk merenggangkan otot serta senaman pernafasan sebelum menarik kereta.

“Santhos tidak mengambil apa-apa makanan khusus. Tetapi dia makan lima biji telur dan bijirin untuk sarapan, sebelanga ayam bercili untuk makan tengah hari dan minum beberapa gelas minuman bertenaga pada waktu malam,” tambahnya.

Santhos yang meminati watak kartun Ben 10, yakin dia mampu melahirkan kekuatan dalaman seperti watak kartun kegemarannya itu.

“Saya berhasrat untuk menarik sebuah pesawat jika pihak AirAsia membenarkan saya berbuat demikian,” jelas Santhos yang pemalu.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Adun Melor Kini Dirawat Di HUSM

Artikel Lain