suria

Pelajar Mati Lemas Berhampiran Rumah

KOTA BHARU: Seorang pelajar Sekolah Kebangsaan Ismail 1, Kota Bharu, Wan Mohd Azafar Wan Mohd Faizal, 7, dijumpai mati lemas berhampiran dengan rumahnya di Kampung Paloh, Pintu Geng, di sini, hari ini.

Mangsa yang keluar bermain hujan dengan sepupunya, Mohd Izat Azman,7, telah tergelincir semasa bermain air ditepi longkang konkrit berhampiran dengan rumahnya.

Menurut Izat, mangsa yang tergelincir terus terjatuh ke dalam longkang dan dibawa arus yang deras.

"Saya terus berlari balik ke rumah untuk mendapatkan pertolongan setelah mendapati mangsa dibawa arus," katanya sambil mengigil kesejukan ditempat kejadian.

Mohd Izat, pelajar Sri Kembangan, baru saja tiba di sini untuk menghabiskan musim cuti sekolah dirumah sepupunya tidak menyangka akan melalui kejadian yang sedih ini.

"Saya sangat rapat dengan arwah dan amat sedih dengan kehilangannya," tambahnya.

Pihak bomba dan orang kampung telah berusaha menggali dua lubang longkang yang ditutupi oleh jalan berhampiran tempat mangsa jatuh tetapi gagal menemui mayatnya yang dipercayai hanyut melalui longkang bawah tanah tersebut.

Mayat mangsa telah dijumpai oleh orang kampung terbabit lebih kurang 5 jam kemudian, 200 meter dari tempat mangsa jatuh.

Menurut ibu mangsa, Nik Fauziah Nik Mat, 29, mangsa merupakan anak ke dua daripada empat beradik dan amat rajin melakukan ibadat sembahyang.

Mayat dihantar ke hospital Raja Perempuan Zainab 2 untuk siasatan lanjut.

Artikel Lain