suria

APMM tahan dua bot nelayan Vietnam di perairan negara dalam tempoh sejam

KUALA TERENGGANU: Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM) menahan dua bot nelayan Vietnam bersama 19 anak kapal yang sedang leka menangkap ikan di kawasan perairan negara dalam tempoh tidak sampai sejam, hari ini.

Pegawai Memerintah Kapal Maritim Jarak, Leftenan Maritim Aidil Adzhar Saleh berkata bot pertama bersama 11 awak-awak termasuk seorang tekong ditahan pukul 6.50 pagi berdekatan Pelantar Minyak Irong Barat, kira-kira 86 batu nautika dari sini.

Kesemua nelayan berumur antara 27 dan 47 tahun itu tidak mempunyai dokumen pengenalan diri dan tidak mempunyai permit untuk menangkap ikan di perairan negara ini.

"Sebuah lagi bot pukat tunda nelayan asing Vietnam ditahan pada 7.35 pagi, juga berdekatan Pelantar Minyak Irong. Lapan kru termasuk seorang tekong, kesemuanya berumur antara 15 dan 25 tahun juga tidak mempunyai dokumen pengenalan diri, berjaya ditahan," katanya dalam satu kenyataan di sini.

Beliau berkata APMM turut merampas 350 kilogram hasil tangkapan dari keduadua bot nelayan asing berkenaan. Keduadua bot ditunda ke jeti APMM untuk tindakan lanjut.

Jika disabitkan kesalahan mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Perikanan 1985, setiap awak-awak boleh dikenakan denda sebanyak RM100,000 dan tekong pula boleh didenda sehingga RM1 juta, katanya.

Khamis lepas, sebuah bot nelayan bersama enam awak-awak dan seorang tekong juga berjaya ditahan ketika sedang menangkap ikan di perairan negara ini di lokasi pelantar minyak yang sama.

Aidil Adzhar berkata apa yang membimbangkan ialah soal siasat terhadap nelayan asing terlibat mendapati mereka mengetahui tindakan menangkap ikan di perairan negara ini merupakan satu kesalahan dan boleh dikenakan denda yang berat.

Bagaimanapun, kekurangan ikan di negara asal menyebabkan mereka terpaksa mengambil tindakan sedemikian, katanya.

"Bagi mengelak nasib sama berlaku terhadap nelayan kita suatu hari nanti, kita amat berharap penangkapan ikan di kalangan nelayan tempatan dapat dilakukan secara terkawal supaya benih-benih ikan dapat membesar sebelum ditangkap.

"Nelayan juga dinasihatkan supaya tidak menggunakan pukat-pukat yang dilarang dan menceroboh kawasan pembiakan ikan seperti taman laut," katanya. BERNAMA

Artikel Lain