suria

Warga emas 91 tahun diburu polis kerana tetak kepala kawan sekampung

KUANTAN: Seorang lelaki warga emas berusia 91 tahun diburu polis selepas dipercayai menetak kepala seorang lelaki sekampungnya di Kampung Bukit Serok dekat Rompin, Khamis lepas.

Pegawai Urusetia Jabatan Siasatan Jenayah Negeri Pahang ASP Noor Asyikin Shamsuri berkata dalam kejadian pada 10 pagi itu, suspek yang menungggang sebuah motosikal datang ke rumah mangsa dengan membawa sebilah parang.

"Suspek yang melihat mangsa bersama isteri dan dua anak berada di halaman rumah secara tiba-tiba pergi ke arah mereka lalu menghayunkan parang itu ke kepala mangsa sambil menuduhnya ada mengambil barang suspek," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata mangsa berusia 25 tahun itu dan keluarganya menyelamatkan diri dengan berlari ke rumah kakaknya yang berhampiran sebelum membuat laporan polis.

Noor Asyikin berkata akibat tetakan itu, mangsa menerima lima jahitan di bahagian kiri kepala di Klinik Bandar Tun Razak, Rompin.

Katanya kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan (KK) dan usaha memburu suspek yang turut mempunyai satu rekod jenayah pada tahun 1952 iaitu menurut Seksyen 406 KK kerana pecah amanah sedang giat dilakukan. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain