suria

60 peratus pelajar Malaysia kembali ke Padang

JAKARTA: Sehingga hari ini, kira-kira 60 peratus daripada 329 pelajar Malaysia di Universiti Andalas (Unand), Padang telah kembali ke kampus untuk melanjutkan pelajaran selepas kejadian gempa bumi 7.9 pada skala Richter pada 30 September.

Pengarah Jabatan Penuntut Malaysia di Indonesia Datuk Dr Junaidi Abu Bakar berkata mereka termasuk 25 pelajar tahun akhir yang sudah menjalani latihan amali kedoktoran dan para pelajar tahun 2, 3 dan 4.

"Selepas meninjau sendiri kampus Unand dan berbincang dengan pihak universiti beberapa hari lepas, saya mendapati hampir semua parasarana yang rosak sudah dibaik pulih dan 80 peratus kemudahan di kampus sudah boleh digunakan," katanya kepada Bernama di sini.

Beliau berkata walaupun kerajaan Malaysia tidak pernah mengarahkan para pelajar kembali ke ibu kota Sumatera Barat itu untuk menyambung pelajaran selepas gempa bumi, namun pihak Unand sentiasa membuka pintunya.

"Saya sudah mengadakan perbincangan mendalam dan pihak Unand memberi jaminan akan membantu pelajar dari segi kuliah ulangan bagi yang tertinggal dan mencari rumah sewa baru bagi pelajar kita," katanya.

Junaidi berkata baki pelajar Malaysia yang belum kembali melapor diri ke Unand masih berada di Malaysia bersama keluarga dan sebahagian besar mereka masih trauma mengenai pengalaman yang dilalui.

"Pelajar harus mempertimbangkan keputusan secepatnya supaya tidak terlalu jauh ketinggalan kuliah," katanya yang menambah bahawa mereka diberikan kebebasan memilih sama ada balik ke Unand atau memohon masuk ke universiti di Malaysia dengan biaya sendiri.

Mengenai tempat bagi pelajar yang menjalani latihan amali, katanya, lawatan ke beberapa hospital menunjukkan semua lapan buah hospital yang menampung mereka tidak mengalami kerosakan yang berat semasa gempa bumi itu.

Beliau juga meminta pihak Unand mengadakan latihan kecemasan yang lebih kerap supaya pelajar dapat membiasakan diri dengan prosedur menyelamatkan diri dengan teratur sekiranya berlaku bencana lagi. BERNAMA

Artikel Lain