suria

Bajet 2010 bukti komitmen kerajaan terhadap kebajikan rakyat

KUALA LUMPUR: Bajet 2010 yang dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak adalah "Bajet Untuk Rakyat" yang jelas membuktikan komitmen kerajaan ke arah mengutamakan kebajikan rakyat.

Ia turut memberi manfaat kepada golongan rakyat berpendapatan rendah dan sederhana serta menyediakan peruntukan besar kepada bidang pendidikan, pertanian, infrastruktur dan kesihatan dan secara tidak langsung memberi banyak faedah kepada negeri-negeri.

Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata bajet itu sesuai dengan slogan 1Malaysia yang memberi keutamaan tinggi kepada rakyat.

Katanya, contoh paling jelas ialah pengumuman pemberian subsidi dan insentif RM2 bilion kepada sektor pertanian termasuk subsidi harga padi, baja padi dan elaun sara diri kepada nelayan.

"Pemberian subsidi dan insentif akan mampu mengangkat dan membantu rakyat miskin (untuk keluar) daripada lembah kemiskinan," katanya kepada pemberita di IPOH semalam.

Selain itu, peruntukan RM30 bilion untuk pendidikan termasuk pembangunan prasarana, menunjukkan kerajaan sedar bahawa hanya dengan pendidikan masalah kemiskinan rakyat dapat diselesaikan dengan berkesan, kata Dr Zambry.

Di MELAKA, Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Ali Rustam berkata peruntukan yang besar dalam bidang pendidikan, pertanian, infrastruktur dan kesihatan mampu mengeluarkan rakyat daripada garis kemiskinan.

Katanya selain bertujuan menggalakkan pertumbuhan ekonomi, bajet ini juga mampu mengeluarkan negara daripada kemelesetan ekonomi global dan sekali gus membina asas kekuatan ekonomi negara demi kesejahteraan rakyat Malaysia selaras dengan gagasan ekonomi 1Malaysia.

"Kerajaan negeri Melaka mengalualukan dan menyambut baik bajet ini. Tahniah diucapkan kepada Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan kerana membentangkan bajet yang komprehensif demi kesejahteraan rakyat Malaysia," katanya.

Beliau turut mengucapkan tahniah kepada kakitangan awam gred 41 hingga gred 54 dan setaraf dengannya serta pesara kerajaan yang turut menerima bayaran khas RM500 yang sebelum ini hanya dinikmati oleh kakitangan kumpulan sokongan.

Di KANGAR, Menteri Besar Perlis Datuk Seri Dr Md Isa Sabu menyifatkan Bajet 2010 bukan sekadar bajet untuk semua rakyat Malaysia tetapi akan turut memberi manfaat kepada Perlis sebagai sebuah negeri pertanian.

Ini kerana bajet yang dibentang oleh Perdana Menteri memberi penekanan kepada memajukan sektor pertanian di negara ini. Ia turut memperjelaskan gagasan 1Malaysia yang memberi ruang dan peluang kepada rakyat Malaysia yang berbilang kaum untuk meningkatkan ekonomi dan taraf hidup, katanya.

"Bajet ini bukan sekadar memacu konsep 1Malaysia tetapi juga memacu pembangunan yang menyeluruh untuk dinikmati rakyat negara ini," kata Md Isa yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno Perlis. BERNAMA

Artikel Lain